Tiga wanita dikompaun RM5,000, rentas negeri tanpa kebenaran
KOTA BHARU - Tiga wanita dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang kerana kesalahan merentas negeri tanpa surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pasir Puteh dekat sini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ketiga-tiga wanita berusia 30 hingga 40-an itu dikesan semasa Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan di sekitar pekan Pasir Puteh.
“Mereka bertiga beralamat di luar Kelantan juga didapati gagal membuktikan alamat tempat tinggal mereka di sini (Kelantan) ketika diperiksa.
“Sehubungan itu, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pasir Puteh telah mengeluarkan tawaran kompaun sebanyak RM5,000 kepada mereka di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB 2020) Akta 342,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Dr Zaini berkata, kompaun tersebut merupakan kali pertama dikeluarkan oleh JKNK kepada individu yang melakukan kesalahan selepas tempoh mendidik berakhir.
“Sebanyak 15 buah premis telah dibuat pemeriksaan bagi mengenal pasti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti menyediakan pencuci tangan, menyedia buku catatan nama, pengimbas suhu badan, penjarakan sosial, pemakaian pelitup separuh muka dan lain-lain,” katanya.
Dr Zaini turut mengingatkan orang ramai serta peniaga supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan pada setiap masa dan kegagalan kepada pematuhan bakal dikenakan tindakan.
“Kita tahu ada segelintir masyarakat seolah-olah mengambil mudah soal pematuhan sehingga berlaku penularan Covid-19, sejak beberapa hari yang lalu.
“Disebabkan itulah, pihak jabatan terpaksa menjalankan operasi dan mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas mana-mana individu yang dikesan masih gagal mematuhi peraturan yang dikenakan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!