Penyertaan sektor korporat bantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan
PUTRAJAYA - Penyertaan korporat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan membantu merancakkan pendaftaran dan komunikasi terutama di kawasan luar bandar melalui jaringan dan aset syarikat, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
“Kolaborasi ini diharap meningkatkan komunikasi mengenai program imunisasi bagi menembusi setiap segmen masyarakat terutama kumpulan fasa kedua serta komuniti yang lebih tertumpu,” katanya.
Khairy berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran kolaborasi korporat bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama lima syarikat iaitu Pos Malaysia, Grab, Parkson, St John Ambulans Malaysia (SJAM) dan Living Minds.
Beliau berkata, Parkson akan menyediakan kaunter informasi khas dan pendaftaran di 20 cawangan seluruh negara bagi membantu orang ramai mendaftar untuk vaksinasi.
SJAM pula akan memobilisasikan sukarelawan untuk menghebahkan aplikasi pendaftaran MySejahtera serta memberi sokongan kecemasan dengan menyediakan ambulans di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, Pos Malaysia mempunyai 13,000 pekerja dan 1,000 pejabat seluruh negara yang akan membantu mengedarkan risalah promosi vaksinasi di peti surat oleh posmen.
"Pos Malaysia ada lebih sembilan juta alamat dan membuat penghantaran lebih sejuta surat dan ratusan ribu parcel setiap hari. Diharap ini akan membantu menyebarkan program imunisasi terutama di kawasan luar bandar," katanya.
Ketua Operasi Grab Malaysia, Rashid Shukor pula berkata, Grab dengan lebih sejuta pengguna akan bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk mewujudkan 'pick up and drop off point' di PPV bagi memudahkan orang ramai selamat sampai ke lokasi dengan selesa.
Katanya, platform Grab juga akan memaparkan pautan terus ke MySejahtera bagi menggalakkan pendaftaran vaksinasi.
Sementara itu, Khairy berkata, sebanyak tujuh juta pendaftaran untuk vaksinasi telah diterima setakat ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!