Pengurus pusat jagaan orang tua mati dalam kereta

Mangsa ditemui orang awam tidak sedarkan diri dalam kereta di Jelapang. Foto: ihsan pembaca
Mangsa ditemui orang awam tidak sedarkan diri dalam kereta di Jelapang. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Seorang pengurus pusat jagaan orang tua ditemukan mati dalam sebuah kereta jenis Mazda di belakang bangunan kedai di Kawasan Perindustrian Jelapang di sini pada Selasa.

Wanita berusia 29 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum melaporkan kepada polis pada jam 9.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring di bahagian pemandu, manakala enjin kenderaan tidak dihidupkan.

"Anggota pasukan siasatan terpaksa memecahkan tingkap bahagian pemandu untuk memeriksa keadaan mangsa yang didapati tidak sedarkan diri.

"Pemeriksaan lanjut terdapat satu kuali bertangkai yang mengandungi arang kayu yang terbakar hampir 70 peratus di tempat kaki penumpang hadapan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan oleh pasukan perubatan mengesahkan mangsa telahpun meninggal dunia ketika dijumpai.

Katanya, mangsa disyaki bertindak membunuh diri dan meninggalkan sekeping nota yang ditemui dalam kenderaan itu.

"Nota tersebut mendapati mangsa mengucapkan terima kasih dan minta maaf kepada ibu, makcik, pakcik, rakan dan teman lelaki selain menyatakan bahawa beliau berasa sangat penat dalam kehidupan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa turut meninggalkan nombor dan kata laluan akaun bank miliknya," katanya.

Asmadi berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa merupakan anak yatim piatu dan tinggal bersama teman lelakinya sejak 2019.

"Menurut teman lelakinya, mereka tiada apa-apa masalah sebelum ini dan dia tidak mengetahui punca mangsa bertindak sedemikian.

"Hasil siasatan tidak menjumpai apa-apa kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah. Pasukan kesihatan telah membuat sanitasi ke atas mayat dan kenderaan sebelum dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti saksi-saksi lain dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!