Pemaju ASEAN digesa teroka inovasi, perkongsian
KUALA LUMPUR - Pemaju hartanah di ASEAN diseru untuk menerima inovasi dan meneroka perkongsian baharu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini akan membolehkan rantau ini muncul lebih kuat selepas pandemik berakhir.
“Projek pembangunan bukan sekadar berfokus untuk memenangi anugerah, tetapi ia juga mampu menyumbang ke arah kelestarian dan kesejahteraan rakyat,” katanya pada majlis Anugerah Pemaju Hartanah ASEAN 2020 yang dihoskan oleh Des Prix Infinitus Media.
Beliau juga memuji penganjur di atas inisiatifnya bagi mengumpulkan pemaju hartanah ASEAN dalam usaha untuk menghubungkan pemain Malaysia dengan rakan serantau mereka.
“Sebagai menteri, adalah menjadi penghormatan untuk menjadi wakil rasmi bagi menawarkan sokongan kami ke arah pembangunan sektor hartanah di Malaysia dan dalam rantau ASEAN, terutamanya pada masa-masa yang mencabar ini,” tambah Zuraida.
Antara pemenang Anugerah Pemaju Hartanah ASEAN 2020 ialah Mah Sing Group Bhd, Tan & Tan Developments Bhd dan Uda Holdings Bhd, kesemua mereka berada dalam kategori Pemaju Terbaik.
Affirm Plus Properties Sdn memenangi anugerah Agensi Hartanah Terbaik Tahun ini, manakala "Pemaju Butik Terbaik" dimenangi oleh Venus Assets Sdn Bhd.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dimenangi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!