Trend siasatan SPRM perlu diubah

Akberdin
Akberdin
A
A
A

SHAH ALAM - Trend penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diubah kerana dilihat hanya memfokuskan kesalahan terhadap penerima rasuah sahaja.

Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, SPRM perlu melaksanakan siasatan secara dua hala, baik kepada pemberi mahupun kepada penerima rasuah.

Menurutnya, budaya negatif ini masih berleluasa kerana selagi ada pemberi selagi itulah rasuah tidak dapat dihapuskan.

“Pelaku utama adalah pemberi kerana jika pemberi tidak menawar habuan untuk dapat sesuatu bantuan, aktiviti rasuah tidak akan berlaku.

“Lazimnya, pemberi sanggup melakukan apa saja asalkan sesuatu yang dia mahu dapat diluluskan termasuklah memberi rasuah. Jadi bila tawaran itu ditolak maka, tiadalah rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Akberdin turut menyifatkan amalan rasuah umpama ‘merompak di dalam senyap’.

Katanya, cuma bezanya rompakan tersebut melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pangkat seseorang demi mendapat keuntungan daripada duit haram.

“Justeru masa sudah tiba untuk SPRM menjalankan siasatan dan tindakan terhadap kedua-dua pihak iaitu pemberi dan penerima.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan yang berkesan perlu diambil terhadap pemberi, bukan penerima sahaja. Baru pemberi takut dan kes-kes rasuah akan berkurangan,” katanya.

Dalam pada itu, Akberdin turut menyatakan sokongan terhadap gagasan Rasuah Busters yang diperkenalkan oleh Sinar Harian.

“Ini adalah salah satu gerakan massa yang bagus kepada agama dan masyarakat. Satu tindakan yang cukup baik, hebat dan patut kita sokong.

“Waktu pelaksanaan inisiatif itu cukup tepat kerana kes-kes rasuah di negara ini semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, rasuah hanya boleh dibendung dengan mempunyai integriti yang tinggi dalam diri tidak kira pangkat ataupun peringkat umur dan berpegang teguh dengan agama.

Seorang penulis, Asrul Effendi Kamaruzzaman berkata, ini kerana rasuah adalah perbuatan yang boleh merosakkan imej individu dan negara.

“Namun saya tidak menolak bahawa desakan hidup turut menjadi antara faktor utama berlakunya rasuah dengan berleluasa.

“Rasuah boleh ditolak dan diketepikan apabila kita mempunyai nilai-nilai murni dan pegangan agama yang kuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selain itu faktor gaji yang tidak cukup ditambah dengan tanggungan hutang yang banyak juga menyebabkan rasuah menjadi jalan terbaik kepada penyelesaian yang dihadapi.

“Tetapi kita harus ingat bahawa itu bukanlah jalan yang harus dipilih kerana ia menambahkan lagi beban dan penderitaan yang ditanggung.

“Justeru, agama memang memainkan peranan yang utama untuk menghapuskan rasuah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!