Masih ramai terpedaya dengan Love Scam
SAMA ada sedar atau tidak, setiap hari pasti ada mangsa jenayah cinta atau Love Scam yang dilaporkan di media massa.
Malangnya, masih ramai yang terpedaya.Hal ini menimbulkan tanda tanya, adakah mangsa terlalu sibuk untuk membaca atau memang tidak ambil endah langsung dengan jenayah ini?
Semalam berlaku lagi kes melibatkan seorang pesara wanita di Negeri Sembilan yang mengalami kerugian sebanyak RM10,800.
Kejadian bermula apabila bekas jururawat itu berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Facebook mendakwa dari Poland pada Disember tahun lalu.
Membaca laporan mengenai sindiket ini, kita pasti tertanya-tanya apakah punca yang menyebabkan ramai wanita mudah sangat terpedaya atau tertipu dengan individu yang tidak dikenali di media sosial.
Menurut Polis Diraja Malaysia(PDRM), suspek akan memperdaya mangsa dengan kata-kata romantis dan janji-janji palsu kepada wanita atau lelaki yang belum berkahwin, wanita atau lelaki yang kesunyian serta wanita atau lelaki yang sudah lanjut usia dan memerlukan teman hidup.
Justeru tidak hairanlah, golongan yang sering menjadi mangsa dalam sindiket ini kebiasaannya mereka yang berada dalam lingkungan umur 30-an dan ke atas.
Modus operandi jenayah ini ialah suspek akan berkenalan dengan mangsa melalui emel, Facebook, Twitter dan lain-lain media sosial untuk menipu mangsa.
Mangsa yang terpedaya akan memasukkan wang ke dalam akaun suspek.
Apa yang lebih penting bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa Love Scam, setiap individu perlu mengabaikan mesej-mesej daripada individu yang tidak dikenali.
Jika kita tidak mula melayan mesej-mesej dengan orang tidak dikenali, masalah ini tidak akan berlaku dan seterusnya ditipu.
Sila teliti dengan sebaiknya setiap friend request dan messenger yang muncul di akaun Facebook dan Instagram anda.
Berhati-hati ketika berkomunikasi dan berkongsi maklumat dengan individu yang tidak dikenali. Jika ragu-ragu tekan sahaja butang unfriend dan abaikan sahaja permintaan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!