Low kecewa Jerman tewas

Pemain Jerman, IIkay Gundogan nyata kecewa dengan kekalahan berkenaan. (Gambar kecil: Joachim Low)
Pemain Jerman, IIkay Gundogan nyata kecewa dengan kekalahan berkenaan. (Gambar kecil: Joachim Low)
A
A
A

PENGENDALI Jerman, Joachim Low nyata kecewa dengan kekalahan 1-2 kepada North Macedonia pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 di MSV Arena pada awal pagi Khamis.

Menurutnya kesebelasan Die Mannschaft itu kelihatan agak keletihan dan bergelut untuk mencipta peluang pada perlawanan berkenaan.

Malah katanya, skuad kendaliannya itu dilihat mempamerkan aksi hambar termasuk melakukan banyak kesilapan ketika mengasak ke gawang pelawat.

“Kami benar-benar kecewa. Di sepanjang perlawanan kami kelihatan agak bergelut terutamanya untuk melepasi benteng pertahanan mereka (North Macedonia).

“Kami kelihatan merbahaya ketika mengasak, tetapi mereka (North Macedonia) tetap kental bertahan dan ia memberikan kesukaran kepada kami,” katanya.

Goran Pandev membuka jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama sebelum Ilkay Gundogan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63 bagi menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun Eljif Elmas menjaringkan gol kedua bagi mengesahkan kemenangan skuad The Red Lions itu pada minit ke-85.

Kekalahan berkenaan menyaksikan Jerman kini berada pada kedudukan ketiga Kumpulan J dengan enam mata selain turut meleburkan rekod tanpa kalah Jerman pada aksi kelayakan Piala Dunia sejak September 2001 apabila tewas 1-5 kepada England bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2002.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tonggak tengah Jerman, Ilkay Gundogan turut menyuarakan kekecewaannya terhadap kekalahan berkenaan.

Menurutnya, skuad Die Mannschaft itu tidak seharusnya tewas pada perlawanan berkenaan apatah lagi di gelanggang sendiri.

“Kita tidak boleh biarkan ia (kekalahan) berlaku. Pemain-pemain mereka jarang berada dalam kotak penalti kami tetapi kami membuka ‘laluan’ kepada mereka.

“Kami pula berhempas pulas mencipta peluang gol, tetapi hanya menjaringkan satu gol. Cara kami dibolosi juga agak ‘menyedihkan.’ Kekalahan ini tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!