Anak-anak tidak sedar jadi Tanggang moden
SHAH ALAM - Penderhakaan zaman kini boleh dilihat dengan pengabaian secara emosi terhadap ibu bapa yang kadang-kadang anak-anak tidak sedar menjadi Tanggang moden.
Pengarah Urusan Smart Parent Network Sdn Bhd, Zaid Mohamad berkata, anak-anak dilihat lebih kepada material berbanding prihatin kepada ibu bapa.
“Antaranya, kita dapat lihat anak-anak sibuk dengan gajet sehinggakan tidak memberi perhatian kepada ibu bapa.
“Anak-anak juga tidak memberi penghormatan yang sewajarnya kepada ibu bapa kerana kedudukan orang tua adalah selepas daripada ALLAH.
“Anak-anak juga tidak memberi bantuan secukupnya dan tidak menjaga kebajikan ibu bapa sehinggakan ada yang sanggup menghantar mereka ke rumah orang tua dan ini adalah ciri-ciri Tanggang moden,” katanya pada Wacana Al-Quran siri ke 106 bertajuk Jangan Jadi Si Tanggang Moden di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Program tersebut dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail dan turut bersama Pakar Motivasi dan Kaunseling, Dr Robiah K Hamzah manakala qari jemputan, Muhammad ‘Ammar Mukhli Mohsin yang memperdengarkan surah al-Isra’ ayat 23 dan 24.
Sementara itu, Robiah berkata, ada anak-anak menjaga orang tua itu atas dasar tanggungjawab, bukan perintah ALLAH serta bukan sebagai kunci pintu syurga.
“Rata-rata anak-anak merasa susah menjaga, tiada orang, tidak sabar dan sebagainya kerana kita ditunjang, kamu jadi anak mesti jaga emak, durhaka kalau tidak menjaga emak.
“Sehinggakan kita tidak menganggap mak ayah kita itu sebagai kunci syurga yang patut kita dapat,” katanya.
Tambah beliau, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh anak-anak adalah dengan taat kepada ALLAH dahulu kemudian ibu bapa.
“Pertama sekali kalau nak sayang emak ayah kena sayang ALLAH dahulu, kalau nak bahagia dengan emak ayah kena bahagia dengan ALLAH dahulu.
“Supaya tidak timbul perasaan penat, bosan dalam menjaga ibu bapa ketika mereka sudah tua,” ujarnya.
Jelas beliau, ketika anak-anak sudah merasa tanggungjawab itu suatu ibadah yang paling besar maka tunaikan secara baik untuk melayakkan anak-anak mendapatkan kunci syurga.
Dalam pada itu, beliau berkata, bercakap lemah lembut dan cantik asas kasih sayang dalam keluarga.
"Sekiranya tidak wujudnya kasih sayang itu dalam keluarga tidak akan mendorong untuk bercakap dengan baik dan cantik. Ini kerana memikirkan (IQ) sehinggakan lupa kepada (EQ) yang menunjukkan bercakap santun ini seperti ada makna di sebalik sesuatu.
“Maka, kita dah cabut akar kelembutan dari jiwa anak-anak dan tidak ada ruang untuk mereka bercakap dengan penuh lembut, baik serta cantik,” katanya.
Sehubungan itu, ibu bapa perlu meletakkan anak mereka dengan visi untuk membawa anak mereka ke syurga maka Insya-ALLAH setiap anak akan menjadi ahli syurga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!