Johor seiring dengan Kerajaan Persekutuan

Hasni merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari RTM Ke-75 peringkat Negeri Johor bertempat di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar di sini, pada Khamis. Gambar kecil: Datuk Ir Hasni Mohammad
Hasni merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari RTM Ke-75 peringkat Negeri Johor bertempat di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar di sini, pada Khamis. Gambar kecil: Datuk Ir Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memberi jaminan akan terus seiring dan menyokong perancangan yang dilakukan kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sokongan itu bagi memastikan program kerajaan dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan negeri akan memastikan segala perancangan kerajaan pusat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

"Pendekatan dan kaedah yang diamalkan kerajaan akan kita teruskan untuk meletakkan kepentingan kerajaan dan rakyat di barisan paling hadapan," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor di Putrajaya, pada Rabu dan menyatakan setakat hari ini tiada keputusan berhubung penarikan sokongan tersebut kerana parti itu lebih memikirkan soal menjaga kemaslahatan di Johor.

Hasni sebelum itu merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari RTM Ke-75 peringkat Negeri Johor di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar di sini pada Khamis.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Johor, Ramlee Johari.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai pelantikan ketua kampung, Hasni menjelaskan, pelantikan itu merupakan pendekatan yang tidak berbentuk politik.

Artikel Berkaitan:

"Pelantikan hanya untuk memastikan rakyat diwakili ketua kampung yang benar-benar dapat memikul amanah dan bertanggungjawab dengan sebaik mungkin.

"Jadi, tiada isu soal pelantikan ketua-ketua kampung ini. Saya telah memaklumkan kepada pegawai daerah untuk memantau dan memastikan tanggungjawab serta tugas diberikan dapat dijalankan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!