Penyahwartaan Hutan Kuala Langat wajar ditarik balik: ABIM
SHAH ALAM - Tindakan kerajaan negeri Selangor yang mahu menyahwartaan status Hutan Kuala Langat Utara sebagai Hutan Simpan Kekal bagi tujuan pembangunan wajar ditarik semula.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia berdasarkan kepada faktor kelangsungan alam serta masa depan generasi akan datang.
Beliau yang juga Penyelaras Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICCN) berkata, tindakan kerajaan negeri itu turut mendapat bantahan majoriti penduduk di kawasan berkenaan khususnya orang asli menerusi Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU).
"Pembukaan kawasan hutan tersebut akan memburukkan lagi krisis iklim terutama dalam meningkatkan jumlah karbon dalam negara.
“Kawasan tersebut adalah kawasan hutan tanah gambut, ia berperanan besar untuk menyimpan jumlah karbon yang banyak dan secara tidak langsung membantu mengurangkan jumlah karbon semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Muhammad Faisal berkata, menerusi penerokaan dan pembukaan kawasan hutan gambut bagi tujuan pembangunan, ia akan mengurangkan sumber alam yang berperanan untuk menyeimbangkan jumlah karbon.
Lebih memburukkan keadaan, katanya, ia akan meningkatkan jumlah pelepasan karbon ke udara.
"Situasi ini pasti akan menjejaskan komitmen Malaysia di peringkat antarangasa menerusi Perjanjian Paris untuk mencapai sasaran karbon neutral pada tahun 2050.
“Maka hutan wajib dipertahankan, malah dibanyakkan lagi kawasan hutan simpan sekiranya kerajaan semasa benar-benar serius menangani isu perubahan iklim dan cuaca ini," kata beliau.
Tambah beliau, aktiviti pembalakan yang berleluasa dan penebangan hutan tanpa kawalan adalah punca utama berlakunya perubahan iklim.
"Situasi bencana banjir besar yang sering berlaku berulang kali di luar jangkaan adalah antara kesan yang berlaku berpunca daripada perubahan iklim.
"Justeru, ABIM mencadangkan kawasan tersebut dijadikan kawasan pelancongan berasaskan ekopelancongan dengan dikekalkan status hutan simpan kekal sebagai kaedah untuk mendidik seluruh warga menghargai alam serta menarik lebih ramai pelancong," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tarik cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat UtaraMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!