LKIM jamin bekalan ikan untuk Ramadan mencukupi

LKIM memberi jaminan bekalan ikan sepanjang bulan Ramadan adalah mencukupi. - Foto 123RF
LKIM memberi jaminan bekalan ikan sepanjang bulan Ramadan adalah mencukupi. - Foto 123RF
A
A
A

BUKIT GANTANG - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan sepanjang bulan Ramadan adalah mencukupi kerana bekalan ikan melalui pendaratan tidak terjejas.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, selain itu pihaknya juga mempunyai bekalan ikan sejuk beku bagi menampung permintaan.

“Kita yakin stok ikan dalam negara mencukupi dan saya bagi jaminan kepada rakyat tidak berlaku kekurangan bekalan ikan yang kita akan kawal.

“Setakat ini tidak ada laporan mengenai kekurangan bekalan ikan dan juga tidak berlaku kenaikan harga ikan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis sumbangan Ihya Ramadan dan Imarah Masjid/Surau di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, di sini pada Khamis.

Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, walaupun berlaku kekurangan 20 peratus bekalan ikan pada Februari lepas tetapi kekurangan itu telah ditampung dengan import dan ternakan akuakultur.

Menurut beliau, permintaan ikan pada bulan Ramadan melibatkan jenis ikan cencaru, selar, kembung manakala ikan besar berkurangan sedikit berikutan banyak restoran dan kedai makan ditutup.

Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata, pihaknya memperuntukkan RM264,000 untuk diberikan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Bukit Gantang bagi mengimarah bulan Ramadan ini.

Katanya, setiap masjid dan surau masing-masing menerima RM3,000 dan RM2,000 serta 24,000 buah kurma yang akan diagihkan ke 30 buah masjid serta 87 surau.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, zakat juga dikeluarkan sebanyak RM300,000 untuk diberikan kepada 3,000 asnaf yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!