Tukang gunting warga asing menyorok dalam tandas elak dicekup
SUBANG JAYA - Seorang tukang gunting warga asing menyorok di dalam tandas bagi mengelakkan diri dicekup pihak berkuasa.
Lelaki itu antara lima yang ditahan dalam Ops Dandan dijalankan Jabatan Imigresen Selangor di enam buah premis gunting rambut di sekitar daerah ini pada Rabu.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, tangkapan lelaki berusia 23 hingga 47 tahun itu menerusi operasi bermula jam 2 petang hasil pemeriksaan terhadap 11 individu.
"Semakan mendapati empat lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan merupakan warga India, manakala seorang lagi warga Bangladesh.
"PATI ini didapati tinggal tanpa pas atau permit sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas yang diberikan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamad Shukri berkata, ketika serbuan, seorang PATI warga India cuba bersembunyi dalam tandas premis berkenaan.
"Selepas pintu tandas diketuk beberapa minit, barulah dibuka dan mendakwa dia adalah pelanggan bukanya pekerja," katanya.
Bagaimanapun, katanya, anggota operasi telah terlebih dahulu mengenal pasti lelaki tersebut adalah pekerja dan melarikan diri bersembunyi sebaik serbuan dilakukan.
"Siasatan awal juga mendapati terdapat dalam kalangan PATI ini yang menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan sektor yang berlainan daripada sektor pekerjaan dibenarkan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!