Tiga beranak maut lori tunda terbabas
PAPAR - Tiga maut manakala empat lagi cedera parah selepas lori tunda dinaiki mereka terbabas di Jalan Kimanis-Keningau di sini pada jam 10.15 malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, mangsa yang juga pemandu lori terbabit bersama isteri dan seorang anak perempuannya meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, empat mangsa yang cedera parah terdiri daripada tiga perempuan dan seorang lelaki juga anak kepada pasangan berkenaan telah dikejarkan ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati lori tunda itu membawa sebuah van rosak dari arah Keningau menuju ke Kota Kinabalu dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan sebelum terbabas ke arah jalan bertentangan.
“Lori terbabit kemudian melanggar tebing bukit dan dipercayai brek lori tersebut gagal berfungsi dengan baik. Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu lori tersepit di bahagian hadapan manakala isteri dan anak perempuannya terhumban keluar daripada lori,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!