Biarkan ternakan berkeliaran, dua penternak dikompaun
KUALA PILAH- Gara-gara membiarkan ternakan berkeliaran, dua penternak masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 dan RM2,100 oleh Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP).
Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, pemilik haiwan berkenaan dikenakan tindakan dalam operasi dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan MDKP di Pekan Senaling, di sini pada Rabu.
"Seekor lembu dan tujuh ekor kambing ditangkap dalam operasi terbabit kerana didapati berkeliaran di jalan raya dan kawasan awam.
"Kesemua haiwan itu telah ditangkap dan disimpan di kandang sementara MDKP dan telah pun dituntut oleh pemilik masing-masing setelah membayar kompaun maksimum," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, kadar kompaun yang dikenakan itu termasuk kadar denda dan kos jagaan sehari.
Dalam pada itu, Mohd Faizal memberi amaran kepada penternak supaya bertanggungjawab terhadap haiwan ternakan mereka bagi elak dikenakan tindakan undang-undang.
"Semoga dengan tindakan ini akan dapat memberikan pengajaran kepada kesemua pemilik haiwan ternakan untuk menjaga haiwan masing-masing supaya tidak menyebabkan masalah keselamatan dan kacau ganggu kepada orang ramai.
"Operasi ini dibuat atas hasil aduan orang ramai. Justeru, jaga ternakan anda, jaga keselamatan dan kebersihan Kuala Pilah Bandar Mampan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!