Teater 'Love In Georgetown City' dibatalkan
GEORGETOWN - Penganjur teater kontoversi, Penangpac dan produksi, Big Nose Production mengesahkan persembahan seni bertajuk 'Love In Georgetown City' untuk tayangan hari ini hingga 17 Februari dibatalkan.
Pengesahan itu dibuat melalui satu kenyataan dengan berkata, tindakan itu diambil kerana berlaku salah faham berhubung tajuk dan kandungan teater tersebut.
Kenyataan itu menyebut, Penangpac dan Big Nose Production diberi saranan menghentikan persembahan teater itu oleh penguat kuasa undang-undang Kerajaan Pulau Pinang.
Ia bagi menjaga ketenteraman awam dan mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Sehubungan itu, orang ramai yang sudah membeli tiket untuk persembahan 15 hingga 17 Februari ini boleh menghubungi Penangpac untuk bayaran balik.
Penangpac Box Office boleh dihubungi di talian 048991722 atau 048992722 bermula 10 pagi hingga 6.30 petang.
Semalam, sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam berkumpul di hadapan Stage 2, Penangpac, Straits Quay bagi membantah penayangan teater tersebut.
Mereka mendakwa, pengarah dan penulis teater tersebut, Fa Abdul telah berselindung di sebalik seni untuk mempersembahkan teater yang didakwa berbaur lucah kepada orang awam.
Tambah mereka, penayangan teater itu juga disifatkan sebagai tidak menghormati Perlembagaan kerana menggalakkan amalan seks bebas dan songsang di kalangan golongan muda.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pengarah mohon maaf, tukar tajuk teater
Bantah teater berbaur lucah di Pulau Pinang
Polis nasihat persembahan teater dihentikan
Kesenian harus dikawal dengan nilai moral: Mufti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!