KIAS dinaik taraf jadi kolej universiti
PUTRAJAYA - Penantian hampir 10 tahun untuk mendapat taraf kolej universiti berakhir apabila Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan berjaya menerima pengiktirafan itu daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Khamis.
Sijil naik taraf itu diserahkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Mohamed Fadzli berkata, pengiktirafan yang diterima oleh satu-satunya kolej milik kerajaan negeri itu merupakan kejayaan bersama.
Beliau berkata, pelbagai cabaran dan rintangan yang dilalui sepanjang tempoh 10 tahun berusaha untuk mencapai status kolej universiti tersebut.
"Alhamdulillah, ini adalah pencapaian yang sememangnya ditunggu-tunggu. Perjuangan yang sangat lama sebenarnya untuk proses naik taraf ini (kepada kolej universiti).
"10 tahun kami berusaha untuk memenuhi kehendak itu. Sebelum ini kita juga sudah beberapa kali membuat pembentangan kepada KPT dan hari ini akhirnya kami dapat status itu.
"Saya bagi pihak kerajaan negeri Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada KIAS dan semua kakitangan serta pelajar KIAS," katanya ketika ditemui pemberita di KPT di sini pada Khamis.
Mohamed Fadzli berkata, fokus pihaknya selepas ini adalah untuk mencapai status universiti.
Katanya, sasaran tiga hingga lima tahun ditetapkan bagi memperoleh status universiti penuh, sekali gus dapat meningkatkan lagi kemampuan pendidikan rakyat Kelantan khususnya dalam bidang pengajian Islam.
"Dalam perbincangan (dengan Noraini) tadi, kita akan bagi komitmen untuk memenuhi syarat universiti penuh dalam tempoh tiga hingga lima tahun. Kerajaan negeri akan terus main peranan untuk membantu," katanya.
Tambah Mohamed Fadzli, ketika ini terdapat sebanyak 93 buah sekolah agama yang berada di bawah seliaan kerajaan Kelantan.
Menurutnya, pelajar-pelajar lepasan sekolah itu merupakan penyumbang utama kepada kemasukan di kolej berkenaan selain terdapat juga pelajar luar dari Kelantan.
Kolej universiti itu ketika ini mempunyai kira-kira 1,800 pelajar dengan 18 kursus ditawarkan melibatkan dua pengajian peringkat ijazah, selain 15 diploma dan satu sijil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!