'Tipper' lori terangkat sendiri, rempuh papan tanda
BAYAN LEPAS - Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas lori yang dipandunya terlanggar papan tanda di Lebuh Raya Tun Dr Lim Choong Eu dalam kejadian pada jam 3 petang, Khamis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, ketika kejadian, lori yang dipandu lelaki berusia 54 tahun itu datang dari arah Georgetown menghala ke Batu Maung.
Menurutnya, siasatan mendapati, 'tipper' lori tersebut tiba-tiba terangkat sendiri lalu terlanggar papan tanda yang berada di bahagian atas di laluan berkenaan dan terjatuh di atas lori berkenaan.
"Bagaimanapun, kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pemandu lori juga tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Tambahnya, polis akan menyiasat lebih lanjut berhubung punca 'tipper' lori yang dikatakan terangkat itu.
"Lori tersebut akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan. Pemandu juga akan dijalankan ujian saringan air kencing serta akan disoal siasat lanjut.
"Lelaki dari Kulim, Kedah itu mempunyai lesen memandu yang sah selain lesen kenderaan bermotor (LKM) juga masih sah tempoh," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!