PPPNP bantu bina jeti, landas bot baharu
PARIT - Pembinaan jeti dan landas bot yang lebih selesa di pekan Parit dan Kampung Ekor Lambat di sini memberi harapan baharu kepada komuniti nelayan di kawasan berkenaan.
Projek yang digerakkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dengan kos lebih RM390,000 itu siap sepenuhnya pada pertengahan Mac lepas.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jeti nelayan yang diperbuat daripada konkrit itu lengkap dengan ruang menunggu dan kemudahan empat unit lampu limpah jenis solar.
Menurutnya, landas bot pula disediakan dengan kemudahan bangsal lengkap dengan tandas dan boleh menempatkan tiga bot dalam satu-satu masa.
"Kedua-dua kemudahan ini merupakan satu usaha PPPNP dalam membantu kerajaan negeri membangunkan perusahaan ikan air tawar di kawasan ini.
"Ia menjadi kemudahan kepada nelayan darat dan pengusaha sangkar ikan dalam aktiviti harian mereka terutama untuk menaikkan hasil tangkapan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Sangkar Ikan Jamil Agrofarm dan merasmikan Landas Bot di Kampung Ekor Lambat di sini pada Khamis.
Saarani berkata, projek itu berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan sahaja sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan pendapatan nelayan.
"Kita harap nelayan dan pengusaha ikan sangkar di sini dapat menggunakan kemudahan ini sebaiknya dalam memasarkan tangkapan dan hasil mereka kepada pembeli," katanya.
Dalam lawatan itu, Saarani turut menyempurnakan gimik pelepasan 9,000 anak benih udang di sekitar sangkar ikan Jamil Agrofarm.
Majlis bersempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Daerah Perak Tengah itu turut dihadiri Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!