Ramadan datang, elak keracunan makanan

Gambar hiasan 123rf.
Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

BEBERAPA hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Ramadan. Pastinya bulan mulia itu amat dinantikan kerana ia ‘lubuk’ untuk mengumpul pahala.

Bulan itu juga ditunggu-tunggu oleh peniaga bazar Ramadan untuk meraih pendapatan memandangkan tahun lepas bazar Ramadan tidak dibenarkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Namun begitu, kekecewaan tahun lalu terubat selepas kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di seluruh negara pada tahun ini seperti yang diumumkan pada 16 Mac lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan negeri masing-masing.

“Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bersetuju untuk membenarkan operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.

“Apa yang penting adalah SOP perlu dipatuhi sepenuhnya. Antaranya lokasi di kawasan terbuka, menyediakan laluan sehala (pintu masuk dan keluar berbeza), pendaftaran MySejahtera di pintu masuk dan kawalan jumlah pengunjung.

“Waktu operasi bazar Ramadan adalah dari jam 3 petang hingga 8 malam manakala bazar Aidilfitri dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.

Pastinya pengumuman itu melegakan peniaga untuk kembali menambah pendapatan. Malah, beberapa negeri awal-awal lagi sudah menyediakan garis panduan dalam pembukaan bazar Ramadan ini, antaranya Kelantan dan Negeri Sembilan.

Di Kelantan, Polis Diraja Malaysia akan menempatkan anggotanya di beberapa lokasi utama bazar Ramadan bagi memantau pematuhan SOP.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kekuatan anggota terpulang kepada lokasi bazar berkenaan nanti dan yang penting, orang ramai mematuhi setiap bentuk SOP.

Kebersihan

Lain pula di Negeri Sembilan apabila kerajaan negeri pada Rabu memberi amaran tegas kepada peniaga dan penganjur bazar Ramadan agar menjaga kebersihan tempat mereka berniaga.

Sekiranya ingkar, mereka boleh disenarai hitam dan permohonan menyertai bazar Ramadan ditolak pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan itu diambil berikutan tapak bazar Ramadan sebelum ini kurang bersih dan keadaan itu agak mengecewakan.

Selasa lalu, Majlis Keselamatan Negara turut memberi peringatan kepada peniaga bazar agar mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. Jika gagal, gerai yang beroperasi dalam bazar Ramadan dan Aidilfitri akan diarah tutup.

Penulis berharap bukan sahaja peniaga, malah pengunjung bazar juga dapat mematuhi SOP ini. Jangan ambil mudah dengan peringatan ini kerana negara kita masih lagi dibelenggu wabak Covid-19.

Dari segi kebersihan pula, ia bukan sahaja melibatkan kawasan gerai namun peniaga juga mesti menitikberatkan soal keselamatan makanan dan minuman yang mereka jual. Jangan hanya sedap mata memandang tapi rasanya hilang entah ke mana. Malah diharap tiada lagi kes keracunan seperti sebelum ini.

Pada 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 516 kejadian keracunan makanan yang mana 16,583 kes berpunca daripada pengendalian makanan yang tidak bersih dan selamat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 34 kejadian keracunan makanan berlaku pada bulan Ramadan 2019 membabitkan 1,032 kes.

Penulis yakin kejadian keracunan makanan boleh dielakkan sekiranya semua peniaga mematuhi panduan penyediaan makanan oleh KKM termasuklah mengambil suntikan tifoid.

Suntikan tifoid bertujuan mengelakkan pengendali makanan daripada dijangkiti penyakit tifoid dan mencegah penularan kepada orang awam melalui makanan atau minuman.

Penulis berharap tiada peniaga yang mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengambil suntikan ini. Usah kejar untung sahaja tapi kejarlah sama keberkatan dalam berniaga.

* Siti Shamila Che Zahari ialah penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!