Tolak tawaran lakonan demi menjaga ibu uzur, adik kanser
KEMAMAN - Pelakon berasal dari Terengganu yang pernah membintangi filem Gol dan Gincu 2 terpaksa menolak sementara tawaran lakonan demi menjaga adiknya yang disahkan menghidapi kanser sejak tahun lalu.
Munirawati Kadar@Kadir, 35 atau lebih dikenali sebagai Munirah Kadir berkata, adiknya, Norusuriani, 25, yang menderita kanser ovari tahap tiga telah menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang pada Disember tahun lalu.
Katanya, penyakit dialami adiknya mula dikesan sejak Oktober tahun lalu selepas tahap kesihatannya mula merosot pada Julai tahun yang sama.
"Saya pulang ke kampung di Bandar Cheneh, Kemaman sejak Julai tahun lalu selepas mengetahui kesihatan adik bongsu saya merosot.
"Saya perasan perubahan ketara berlaku pada bahagian perut adik yang semakin membesar. Saya sangka ia perubahan biasa disebabkan pertambahan berat badan namun sangkaan meleset kerana tahap kesihatannya bertambah buruk malah turut mengalami pendarahan," katanya kepada Sinar Harian, pada Khamis.
Munirawati yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berkata, adiknya kini telah menjalani beberapa rawatan kimoterapi di HTAA dan kali terakhir dilakukan lima hari berturut-turut sejak Isnin minggu lalu.
"Dia kini selesai menjalani proses kimoterapi dan selepas ini jadual saya akan lebih tersusun kerana hanya perlu berulang- alik ke hospital untuk temu janji bagi pemeriksaan tahap kesihatan.
"Sebenarnya saya tidak berhasrat untuk meninggalkan bidang lakonan, peragaan dan nyanyian sebab masih sayangkan kerjaya itu namun tumpuan kepada keluarga lebih penting ketika ini.
"Tambahan pula, saya juga perlu menjaga ibu saya, Kharifah Dolah, 55, yang kini uzur dan mengalami jangkitan kuman dalam darah," katanya yang turut beraksi dalam drama berjudul Jue Anna dan Cinta Millennium pada 2020.
Munirawati berkata, sebanyak RM1,000 perlu dibelanjakan setiap bulan bagi menampung keperluan adiknya membabitkan RM500 lampin dan susu, perubatan (RM300) dan lain-lain kos RM200.
"Buat sementara waktu ini saya menggunakan duit simpanan yang ada sementara menunggu permohonan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk adik diluluskan," katanya.
Dalam pada itu, ibu tunggal kepada empat anak ini berkata, beliau berhasrat untuk kembali aktif dalam dunia seni sekiranya tahap keadaan adik dan ibunya bertambah baik.
"Apabila mereka berdua sudah pulih nanti mungkin saya boleh pertimbangkan untuk kembali beri tumpuan dalam bidang lakonan, peragaan dan nyanyian," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 153092081220 atas nama Munirawati Kadar@Kadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!