Zahid tak pernah sebut tunda pemilihan parti
SHAH ALAM – Kenyataan sesetengah pihak yang menggesa agar pemilihan parti ditunda hanyalah pandangan peribadi mereka.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyebut sebelum ini bahawa pemilihan parti itu akan diadakan setiap tiga tahun.
“Beliau (Ahmad Zahid) tidak pernah berkata nak ubah atau tidak. Itulah yang telah disebutkan oleh presiden parti untuk diadakan pemilihan tiap tiga tahun.
“Kalau ada apa-apa perubahan, ia akan dibawa ke dalam Mesyuarat MKT UMNO untuk disahkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berkata, buat masa ini belum ada lagi perbincangan untuk menunda atau meneruskan pemilihan parti itu pada tahun ini.
“(Ini kerana) belum ada lagi mesyuarat MKT,” katanya.
Armand berkata, pandangan beberapa orang menteri daripada UMNO agar pemilihan parti dibuat pada tahun ini dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat MKT yang akan diadakan nanti.
“UMNO sekarang lebih terbuka untuk menerima pandangan, cadangan malah kritikan.
“Apabila dua menteri daripada UMNO mencadangkan agar pemilihan parti diadakan sebenarnya ia berlandaskan apa yang telah dijanjikan oleh Datuk Seri (Dr) Zahid Hamidi di mana mengatakan tiap tiga tahun akan ada pemilihan parti,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini menggesa agar diadakan pemilihan parti pada tahun ini bagi mengatasi kemelut dalaman UMNO.
Kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan adalah pada 30 Jun 2018 dan tempoh matang kepimpinan parti itu yang ada sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!