GP Malaysia pentas 60 atlet olahraga pamer taring
SERAMAI 60 atlet olahraga bakal berentap dalam Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia pada 10 dan 11 April ini di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk SM Muthu berkata, mereka yang bertanding merangkumi 40 atlet kebangsaan manakala 20 lagi merupakan atlet yang mewakili negeri.
“Saingan GP Malaysia ini telah mendapat lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan minggu lalu dan akan dianjurkan mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan. Ini juga merupakan antara kejohanan pemilihan ke Sukan SEA Hanoi yang dijadualkan dari 21 November hingga 2 Disember ini.
“Semoga penganjuran ini dapat memberi khabar gembira kepada atlet dan berharap mereka dapat menyahut cabaran beraksi pada kejohanan ini dengan mempamerkan aksi terbaik setelah lama tidak bersaing secara kompetitif untuk merebut slot ke Hanoi,” katanya pada Khamis.
Muthu berkata, sebanyak 27 acara dijangka dipertandingkan termasuk 100 meter (m), 400m, 800m, lompat jauh, lompat tinggi dan lempar cakera.
Katanya, kejohanan itu juga sebagai medan bagi barisan kejurulatihan memilih atlet yang benar-benar layak untuk memburu slot ke Sukan Olimpik di Tokyo, dijadualkan dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Kali terakhir atlet negara berentap sesama sendiri ialah pada Karnival Majlis Sukan Negara (MSN), Disember tahun lalu.
Kesemua atlet olahraga negara kini giat menjalani latihan seperti biasa di Trek MSN, Bukit Jalil manakala jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin pula sedang menjalani latihan di Jerman.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!