Penempatan haram PATI di hutan belukar, lereng bukit digempur

Seramai 43 PATI ditahan dalam Ops Bersepadu di Bukit Puchong pada Jumaat.
Seramai 43 PATI ditahan dalam Ops Bersepadu di Bukit Puchong pada Jumaat.
A
A
A

PUCHONG - Bukan sahaja membina penempatan haram seluas tiga ekar di kawasan hutan belukar di Bukit Puchong, di sini namun turut dikesan mencuri bekalan elektrik dan air untuk 'kelangsungan' hidup.

Itu kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya dibongkar dalam Ops Bersepadu, kira-kira jam 12.05 tengah malam pada Jumaat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak memeriksa 63 warga asing.

"Hasil pemeriksaan telah menahan 43 PATI termasuk 17 wanita membabitkan 33 warga Indonesia dan 10 Bangladesh berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun.

"Siasatan awal mendapati antara kesalahan yang dikesan adalah tiada sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Seramai 43 PATI ditahan dalam Ops Bersepadu di Bukit Puchong pada Jumaat.
Seramai 43 PATI ditahan dalam Ops Bersepadu di Bukit Puchong pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan, dipercayai penempatan haram itu dibina sejak enam hingga tujuh tahun lalu berdasarkan pemerhatian pada keadaan rumah dan laluan denai.

Katanya, PATI ini juga dikesan membuat sambungan haram untuk mencuri bekalan elektrik dan air.

Artikel Berkaitan:

"Keluasan tempat ini adalah kira-kira tiga ekar di kawasan lereng bukit. Ada antara PATI terbabit bekerja di kawasan pembinaan dan kedai makan.

"Soal siasat juga mendapati ada antara yang berpindah ke kawasan penempatan haram ini akibat hilang pekerjaan sejak wabak Covid-19 melanda. Ada yang mendakwa tidak mampu bayar sewa rumah hingga menyebabkan mereka melarikan diri ke sini.

"Keadaan tempat tinggal di sini juga daif dan boleh menjadi punca merebak wabak Covid-19. Jadi, Imigresen akan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar penempatan itu dimusnahkan segera," katanya.

Khairul Dzaimee (dua dari kanan) menjalankan pemeriksaan ke atas PATI yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Bukit Puchong pada Jumaat.
Khairul Dzaimee (dua dari kanan) menjalankan pemeriksaan ke atas PATI yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Bukit Puchong pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, statistik tahun ini merekodkan 1,353 operasi dengan pemeriksaan 30,027 warga asing. Hasil pemeriksaan bertindak menahan 5,179 PATI selain tangkapan terhadap 67 majikan.

"Operasi penguatkuasaan akan diteruskan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peraturan.

"Imigresen juga mengingatkan majikan agar tidak melindungi PATI bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang. Orang ramai juga digesa untuk menyalurkan maklumat berkenaan PATI dalam membantu melaksanakan penguatkuasaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!