LPP lancar buku CAMEL-T

Haslina (tengah) bersama Nik Muhammad Zawawi dan Azulita meneliti buku CAMEL-T yang dilancarkan pada malam Rabu. Foto: Asril Aswandi Shukor
Haslina (tengah) bersama Nik Muhammad Zawawi dan Azulita meneliti buku CAMEL-T yang dilancarkan pada malam Rabu. Foto: Asril Aswandi Shukor
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melancarkan buku 6 Prinsip Kecemerlangan Pertubuhan Peladang (CAMEL-T) sebagai panduan kepada seramai kira-kira 2,900 pegawai dan kakitangannya untuk melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

Ia sekali gus muncul sebagai buku pertama seumpamanya diterbitkan LPP yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, buku setebal 228 muka surat itu akan menjadi sumber rujukan kepada semua warga kerja LPP dalam mengurus dan mentadbir pertubuhan berkenaan supaya menjadi lebih sistematik, mantap serta mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Buku ini dapat membantu Pertubuhan Peladang memberi fokus kepada pematuhan undang-undang dan peraturan asas serta kritikal berkaitan rutin kerja harian.

“LPP sebagai pendaftar kepada pertubuhan peladang seluruh Malaysia mempunyai satu set perundangan dan peraturan yang sangat komprehensif,” katanya ketika menyempurnakan majlis pelancaran buku tersebut di Hotel The Everly Putrajaya di sini pada Rabu.

Haslina (tengah) bersama Nik Muhammad Zawawi (kiri) dan Azulita menyempurnakan gimik pelancaran buku CAMEL-T pada majlis pelancaran di Hotel The Everly, Putrajaya pada Rabu. Foto: Asril Aswandi Shukor
Haslina (tengah) bersama Nik Muhammad Zawawi (kiri) dan Azulita menyempurnakan gimik pelancaran buku CAMEL-T pada majlis pelancaran di Hotel The Everly, Putrajaya pada Rabu. Foto: Asril Aswandi Shukor

Serentak dengan pelancaran itu, Haslina turut merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Anggota LPP Tahun 2021 yang menyaksikan seramai 196 warganya menerima anugerah.

Hadir sama Pengerusi LPP, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP, Norlizah Muhamad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Haslina berkata, buku tersebut memberikan kefahaman yang jelas mengenai justifikasi untuk setiap tindakan serta kesan sekiranya ia tidak dilaksanakan.

Justeru, beliau berkata, buku tersebut boleh dirujuk di semua peringkat pengurusan Pertubuhan Peladang khususnya pengurus besar yang baru dilantik bagi mengurangkan risiko salah tadbir dan kecuaian dalam mematuhi undang-undang.

Haslina (kiri) menyampaikan APC kepada seramai 196 warga LPP yang mencatatkan prestasi cemerlang. Foto: Asril Aswandi Shukor
Haslina (kiri) menyampaikan APC kepada seramai 196 warga LPP yang mencatatkan prestasi cemerlang. Foto: Asril Aswandi Shukor

“Usaha ini akan menjadikan pengurusan menjadi lebih telus, berintegriti dan mengelakkan ketirisan terutama yang melibatkan agihan peruntukan.

“Impak daripada inisiatif ini akan dirasai secara terus oleh hampir satu juta ahli Pertubuhan Peladang di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, faedah yang akan dirasai itu termasuklah dari segi agihan dividen yang lebih tinggi dan kebajikan peladang lebih terjamin.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, buku tersebut diterbitkan khusus untuk pegawai dan kakitangan yang bertugas di lapangan untuk menyediakan formula tindakan ke arah kualiti pengurusan yang cekap.

“Formula itu adalah dalam konteks audit pengurusan bagi mencapai piawaian pengurusan lima bintang di bawah penarafan audit pengurusan.

“Buku ini ditulis hasil daripada soalan-soalan Manual Audit Pengurusan untuk keseluruhan prinsip CAMEL-T,” katanya.

Penolong Pegawai Tadbir LPP, Noor Zulaika Nadhirah Zulkipli menunjukkan buku CAMEL-T.
Penolong Pegawai Tadbir LPP, Noor Zulaika Nadhirah Zulkipli menunjukkan buku CAMEL-T.

Menyentuh mengenai APC pula, katanya, ia diadakan untuk memberi pengiktirafan dan menghargai sumbangan warga LPP yang telah menunjukkan prestasi cemerlang.

Nik Muhammad Zawawi berkata, pengiktirafan itu akan menyuntik semangat kepada penerima untuk terus berkhidmat dengan lebih dinamik, dedikasi dan iltizam yang tinggi.

“Hasrat kita ialah seboleh-bolehnya seluruh anggota LPP menjadi cemerlang.

“Tanda kecemerlangan sesebuah agensi adalah masyarakat banyak menggunakan perkhidmatan kita dan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!