Vaksin Covid-19: Pemain industri pelancongan wajar diberi keutamaan

Mohd Sharkar (kanan) meninjau gerai-gerai pameran peserta yang mengambil bahagian pada Program This Is Pahang: Business Networking At The Peak' di Menara Kuantan 188, Kuantan, malam Khamis.
Mohd Sharkar (kanan) meninjau gerai-gerai pameran peserta yang mengambil bahagian pada Program This Is Pahang: Business Networking At The Peak' di Menara Kuantan 188, Kuantan, malam Khamis.
A
A
A

KUANTAN: Kerajaan Pahang mencadangkan agar semua pemain industri pelancongan diberi keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pemberian vaksin lebih awal kepada kumpulan itu dilihat dapat membantu memulih dan merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk.

Menurutnya, langkah itu juga membantu meningkatkan keyakinan pelancong untuk bercuti dan mendapatkan perkhidmatan ditawarkan pemain-pemain industri termasuk dalam sektor perhotelan dan sebagainya.

"Pemain industri pelancongan merupakan petugas barisan hadapan bagi sektor ini kerana mereka sememangnya berdepan dengan orang ramai setiap masa.

"Misalnya pemandu pelancong dan penyambut tetamu, mereka memang ada 'close contact' dengan pelancong jadi sewajarnya keutamaan diberikan untuk mereka juga dapat menerima suntikan valsin lebih awal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program 'This Is Pahang: Business Networking At The Peak di Menara Kuantan 188 di sini, malam Khamis.

Mohd Sharkar berkata, sekiranya sektor itu diberi keutamaan, ia akan memberi kesan positif kepada pasaran pelancongan yang merupakan sektor ketiga tertinggi menyumbang kepada pendapatan negara.

Tambah beliau, bagi hotel dan semua premis pelancongan yang mana semua pekerja mereka sudah menerima vaksin juga sewajarnya dilabel dengan tag khas kerana langkah itu juga dilihat dapat meyakinkan pelancong untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, program 'This Is Pahang: Business Networking At The Peak' yang melibatkan kira-kira 100 pemain industri termasuk dari luar Pahang antara usaha bagi merancakkan kembali industri pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, program itu diadakan dengan tujuan mempromosi dan memberi pendedahan mengenai produk pelancongan dan destinasi menarik di negeri ini kepada agensi pelancongan dari luar Pahang.

"Melalui program ini, kita dapat mewujudkan padanan perniagaan antara pemain industri melalui pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan.

"Usaha ini sebagai persiapan kita untuk menerima kehadiran lebih ramai pelancong sekiranya kawalan pergerakan dilonggarkan dan rentas negeri kembali dibenarkan," katanya.

Menurutnya, pemain industri perlu mempunyai persediaan dan sedia untuk kembali beroperasi.

"Mereka tidak boleh mengambil langkah tunggu dan lihat sebaliknya perlu terus bergerak ke hadapan dengan perancangan rapi melalui tawaran pakej-pakej menarik untuk menggalakkan kehadiran pelancong.

"Secara keseluruhannya, pemain industri pelancongan di Pahang ini sudah bersedia terutama dalam kalangan pengusaha hotel, penginapan dan operator pusat pelancongan," katanya.

Beliau berkata, sektor pelancongan di Pahang tetap positif walaupun jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini merundum tahun lalu kesan pandemik Covid-19.

"Tahun lalu kita hanya menerima 7.43 juta pelancong berbanding 13.99 juta pelancong pada tahun sebelumnya.

"Kita jangkakan sektor pelancongan di negeri ini akan kembali rancak sekiranya rentas negeri kembali dibenarkan kerana Pahang yang mempunyai pelbagai produk pelancongan menjadi antara destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!