Arteta jangka Arsenal berdepan saingan sengit
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta tetap menjangkakan skuad kendaliannya itu berdepan saingan sengit ketika melayan kunjungan Liverpool di Emirates pada awal pagi Ahad.
Menurut Arteta, biarpun skuad The Reds itu dilihat mempamerkan aksi hambar khususnya bagi saingan di peringkat domestik, namun ia dilihat masih mampu memberikan ‘ancaman’ kepada The Gunners.
Katanya, untuk berdepan dengan pasukan seperti itu, ditambah pula dengan kualiti (pemain) yang dimiliki, mereka akan ‘dihukum’ atas kesalahan yang dilakukan.
“Saya telah menyaksikan banyak perlawanan membabitkan Liverpool dan bagi saya mereka (Liverpool) adalah antara pasukan terbaik; jika bukan yang terbaik, pasti pasukan kedua terbaik.
“Apa pun, ini adalah bola sepak dan bola perlu berada di dalam gawang gol untuk mengesahkan kemenangan,” katanya.
Untuk rekod, The Reds telah beraksi tanpa kelibat Virgil Van Dijk, Joe Gomez, Jordan Henderson, Joel Matip dan Diogo Jota dalam beberapa perlawanan musim ini berikutan masalah kecederaan yang dialami.
Bagaimanapun, skuad kendalian Jurgen Klopp itu masih mampu mara ke peringakat suku akhir Liga Juara-juara dan bakal berdepan gergasi La Liga, Real Madrid, 7 April ini.
Sementara itu Arteta menyifatkan prestasi Liverpool musim ini sememangnya agak berlainan berbanding dengan saingan EPL sebelum ini.
Katanya, situasi berkenaan mungkin timbul apabila ramai pemain tonggak The Reds mengalami kecederaan musim ini dan terpaksa diketepikan bagi memberikan peluang untuk pemain-pemain muda beraksi.
“Biarpun mereka menampilkan pemain baharu, namun prestasi yang ditunjukkan tetap mengkagumkan.
“Oleh itu, jika anda fikir anda tidak melakukan sebarang kesilapan ketika beraksi, penyerang mereka (Liverpool), masih mampu untuk memecahkan benteng pertahanan atau melakukan larian solo untuk menjaringkan gol,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!