United tidak boleh panik

McTominay
McTominay
A
A
A

MANCHESTER United tidak boleh panik dan perlu mengekalkan rentak konsisten sekiranya mahu menyudahkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kelompok empat terbaik selain memburu trofi Liga Europa.

Pemain tengah United, Scott McTominay berkata, pasukan gergasi EPL itu akan memasuki fasa berat dalam baki perlawanan EPL selain sedang berjuang dalam peringkat suku akhir Liga Europa.

"Kami mempunyai kumpulan pemain dengan pemain yang berkualiti dan terbaik di dunia. Orang agak cepat untuk melupakan prestasi terbaik kami selepas beberapa keputusan hambar dalam beberapa perlawanan terakhir.

"Tetapi, saya percaya pasukan ini sedang berkembang dan ia bukan masanya untuk kami panik kerana kami tidak mahu terlepas kejuaraan Liga Europa dan berada dalam kedudukan empat terbaik EPL," katanya.

United sebelum ini dikritik selepas tewas dalam aksi suku akhir Piala FA di tangan Leicester City dengan peluang untuk The Red Devils menjulang trofi musim ini hanyalah dalam saingan Liga Europa.

Manakala, untuk saingan EPL, United berkemungkinan sukar untuk menghalang penguasaan Manchester City yang kini menghuni kedudukan teratas liga dengan perbezaan 14 mata berbanding United.

Dalam masa sama, McTominay percaya dia mampu memberikan impak besar kepada pasukan terutama dalam situasi getir ketika ini yang memerlukan fokus dan konsentrasi berterusan daripada setiap pemain.

"Keluarga saya membesarkan saya dengan sifat merendah diri dan bekerja keras. Saya tahu saya tidak sempurna dalam setiap perlawanan. Saya mempunyai banyak perkara untuk diperbaiki dalam permainan, tetapi ia merupakan cabaran. Saya cuma mahu melakukan yang terbaik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!