Peniaga Pasar Harian Selayang pindah 1 Jun: Annuar
KUALA LUMPUR - Pemindahan peniaga Pasar Harian Selayang ke bangunan baharu yang dijadualkan bermula 1 April lalu ditangguhkan kepada 1 Jun.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya bersetuju untuk menangguhkan pemindahan itu selepas bertemu peniaga pada Khamis.
Menurutnya, pihaknya mengambil maklum berkenaan permintaan peniaga untuk beberapa kerja ubah suai.
"Saya turun sendiri ke pasar dan setuju tangguh pindah ke 1 Jun dan buat beberapa ubah suai yang mereka cadang," kongsinya di Twitter pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Kawasan Selayang Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, Mohd Hafiz Mohd Sidik berkata, terdapat lapan perkara dikemukakan untuk perhatian pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antaranya melibatkan isu fasiliti, sewa dan waktu operasi.
"Aspek fasiliti yang persatuan mohon diambil perhatian adalah tembok antara meja peniaga perlu direndahkan supaya tidak menghalang penglihatan pengguna. Selain itu, kami mohon supaya diperbanyakkan tempat menurunkan barang (loading bay) bersesuaian dengan kegunaan 700 peniaga.
"Kami turut memohon supaya kadar sewa diturunkan dengan harga lebih berpatutan. Masa operasi pula kami mohon bermula jam 2 pagi berbanding 6 pagi yang ditetapkan untuk pasar harian," katanya.
Tambahnya, pihaknya turut memohon supaya diberikan moratorium di peringkat awal pemindahan peniaga.
"Peniaga bimbang pasar baharu tidak mendapat sambutan pelanggan terutama di medan selera yang terletak di tingkat dua.
"Kami juga terpaksa bersaing dengan beberapa pasar raya di sekeliling kami, tidak termasuk penjaja tepi jalan. Jadi, di peringkat permulaan pemindahan nanti, kami mohon supaya diberikan penangguhan bayaran sebagai tempoh percubaan berniaga di tapak baharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!