Doa bekas penghulu uzur sentuh hati Muhyiddin

Muhyiddin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Aris ketika mengunjungi warga emas itu di kediamannya pada Program Ziarah Kasih di Kampung Sindang Baru, Kota Samarahan pada Jumaat. - Foto Bernama
Muhyiddin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Aris ketika mengunjungi warga emas itu di kediamannya pada Program Ziarah Kasih di Kampung Sindang Baru, Kota Samarahan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA SAMARAHAN - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui beliau tersentuh dengan doa seorang bekas penghulu yang sedang uzur ketika beliau mengunjungi warga emas itu dalam program Ziarah Kasih di Kampung Sindang Baru, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, Aris Johari, 74, mendoakan agar beliau dapat meneruskan usahanya selama ini untuk membantu rakyat.

“Doa rakyat biasa kepada pemimpin adalah luar biasa. Pemimpin seperti kita pun sentiasa mendoakan rakyat agar sentiasa dalam keadaan baik (dengan) kehidupan mereka cukup sempurna,” kata Muhyiddin semasa berucap pada Majlis Perjumpaan bersama Pemimpin Masyarakat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, di sini.

Muhyiddin berserta isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman melakukan Ziarah Kasih dengan mengunjungi beberapa orang penduduk di kampung berkenaan.

Muhyiddin (duduk, tiga dari kanan) dan isteri (duduk, dua dari kanan) melawat kediaman Selha (dua dari kiri) pada Program Ziarah Kasih di Kampung Sindang Baru, Kota Samarahan pada Jumaat. - Foto Bernama

Mereka diiringi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta beberapa menteri Persekutuan dan negeri.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang diziarahi Perdana Menteri, Selha Slet, 67, berkata dia bagaikan tidak percaya apabila melihat pemimpin nombor satu negara tersebut datang ke rumahnya dan meluangkan masa kira-kira 20 minit berbual dengannya dan keluarga.

“Hati saya berdebar-debar sejurus mendapat tahu bahawa Perdana Menteri hendak datang ke rumah. Selama ini cuma tengok dia dalam televisyen sahaja, tapi hari ini depan mata sendiri, rasa sangat bertuah, rezeki saya dia sudi datang ke rumah ini.

Artikel Berkaitan:

“Perdana Menteri kita sangat peramah serta prihatin dengan rakyat,” kata wanita warga emas itu yang mempunyai lima anak hasil perkongsian hidup dengan arwah suami yang meninggal dunia pada 2014. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!