Bersatu masih terima jika UMNO ingin kembali

Muhammad Faiz Na’aman
Muhammad Faiz Na’aman
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih sedia menerima sekiranya UMNO mahu kembali bersatu demi perpaduan.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, perpaduan bagi membantu rakyat seharusnya menjadi keutamaan berbanding parti politik.

“Tangan kami masih terbuka untuk menyeru ke arah perpaduan kembali. Bila sebut pasal perpaduan, sebenarnya saya secara peribadi lebih suka kepada perpaduan nasional kerana perpaduan ummah skopnya hanya kepada kalangan muslim. Sedangkan kita tahu di Sabah dan Sarawak ada bumiputera yang bukan Islam. Perpaduan nasional ini sepatutnya melangkaui parti politik. Itulah yang sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Edisi ke-244 yang bertajuk PN Kekal Stabil Tanpa UMNO yang dikendalikan oleh Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Turut menjadi panelis, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan penganalisis politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggabungan parti berasaskan majoriti bumiputera ialah langkah pertama untuk memperjuangkan negara.

(Dari kiri) Ahmad Fahmi, Abdul Rahman, dan Muhammad Faiz dalam Wacana Sinar Harian Siri Ke-244 bertajuk 'PN Kekal Stabil Tanpa UMNO’.
(Dari kiri) Ahmad Fahmi, Abdul Rahman, dan Muhammad Faiz dalam Wacana Sinar Harian Siri Ke-244 bertajuk 'PN Kekal Stabil Tanpa UMNO’.

“Kalau langkah pertama pun gagal, macam mana kita nak membuat satu gagasan yang besar untuk seluruh negara. Sebagai contoh Indonesia, kematangan politik mereka. Walaupun banyak parti, tapi dalam soal nasional mereka boleh bersama menyokong pimpinan kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, jika berlaku permusuhan kepada parti yang berasaskan Melayu, ia akan mendatangkan kerugian terhadap negara.

Tambahnya, walaupun mempunyai haluan yang berbeza, namun tiada masalah untuk berkolaboratif mendapatkan toleransi dan muafakat.

“Bila ada perseteruan, kesannya adalah pantai timur agak ke belakang kerana memilih haluan yang berbeza.

“Kalau bersatu, tiada pihak tercicir daripada arus pembangunan kerana kepentingan negara, bangsa patut melangkaui fanatik kita terhadap parti. Parti ini sebagai satu wadah untuk kita memperjuangkan semua dan bukan untuk parti sahaja," kata beliau lagi.

Mengulas mengenai keputusan UMNO untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu selepas PRU15 diumumkan, beliau berkata, partinya menghormati dan tidak mahu campur tangan terhadap segala keputusan yang telah dilakukan.

“Itu keputusan kepimpinan UMNO. Kita tak boleh suruh (UMNO) berubah, campur tangan atau merayu sampai terpaksa dilihat terlampau merendah diri,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!