Kes Datuk gaduh di restoran ditangguh Mei depan
PETALING JAYA - Keputusan kes dua pengarah syarikat termasuk seorang bergelar Datuk yang tular di media sosial dalam pergaduhan di restoran di Tropicana Avenue, Damansara tiga bulan lalu, ditangguh Mei depan.
Ia berikutan Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat dimaklumkan bahawa pemilik restoran dalam kejadian itu sudah menarik balik aduan terhadap Datuk Tan Wai Khan, 43.
Ketika sebutan semula dan jatuh hukum di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, peguam, Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh, Wai Khan dan Ang Mow Loong, 40, berkata, ia melibatkan pertuduhan bagi kes mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
"Memandangkan terdapat perkembangan baharu itu, saya mohon mahkamah dapat memberi peluang untuk mengkaji semula pertuduhan tersebut.
"Pihak kami juga berharap dokumen berkaitan dapat diberi supaya saya dapat meneliti pertuduhan ke atas anak guam saya, sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab berkata, pihaknya memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen dan arahan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: Datuk dan rakan mengaku salah pukul pelanggan restoran
Pada 21 Januari lalu, Wai Khan didakwa atas lima pertuduhan manakala rakannya, Mow Loong, berdepan dua pertuduhan.
Wai Khan mengaku bersalah atas empat pertuduhan memukul namun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan memecahkan pinggan mangkuk, milik Pei Choong, 31.
Sementara Mow Loong mengaku bersalah atas dua pertuduhan memukul dan mengundang kegusaran kepada pelanggan restoran.
Mengikut dua pertuduhan, Wai Khan didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul Magdelene Wong Chun Yi, 31 dan Lee Dek Quan, 26 di sebuah restoran di Tropicana Avenue, pada jam 9 malam, 12 Januari lalu.
Bagi dua lagi pertuduhan berasingan, Wai Khan dan Mow Loong didakwa bersama-sama atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dengan memukul Kwan Pei Choong, 31, di lokasi, masa dan tarikh sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Sementara dua lagi pertuduhan berasingan, kedua-dua tertuduh didapati bersama-sama melakukan kacau ganggu yang menyebabkan kegusaran kepada pelanggan dan pekerja restoran itu, didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM400.
Bagaimanapun, bagi pertuduhan kelima, Wai Khan tidak mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan pinggan mangkuk milik Pei Choong di lokasi, masa dan tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Pada Januari lalu, Sinar Harian melaporkan, dua individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pukul seorang pengurus di sebuah restoran di Tropicana Avenue di sini.
Berdasarkan siasatan awal polis, mangsa dipukul kerana menegur suspek yang duduk di meja bersebelahan kerana bercakap dalam nada suara yang tinggi.
Satu video berdurasi 29 saat menunjukkan suspek memukul seorang lelaki di restoran berkenaan, tular di media sosial. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!