Pahang cadang pendekkan tempoh permohonan kelulusan tanah

Wan Rosdy menyerahkan surat hak milik rancangan tanah kelompok (RTK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar, Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, pada Jumaat.
Wan Rosdy menyerahkan surat hak milik rancangan tanah kelompok (RTK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar, Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, pada Jumaat.
A
A
A

PEKAN - Kerajaan Pahang bercadang memendekkan tempoh proses permohonan pemberimilikan ke atas rancangan tanah berkelompok di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan itu akan diperhalusi dan dipertimbangkan kerana proses kelulusan tanah kini mengambil tempoh sehingga 14 tahun.

"Bagi kita tempoh 14 tahun satu jangka masa panjang dan saya sangat berkeyakinan masih ada ruang untuk tempoh kelulusan tanah ini dipendekkan.

"Jadi, kita perlu melihat faktor-faktor yang menyebabkan proses kelewatan kelulusan permohonan tanah yang dikemukakan kepada Pejabat Tanah dan Galian," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan surat hak milik rancangan tanah kelompok (RTK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar, Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, pada Jumaat.

Seramai 470 individu menerima geran RTK di kawasan DUN Bebar yang disampaikan oleh beliau.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi Dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud serta Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad Wilayah Pahang, Nor Zahari Zakaria

Wan Rosdy berkata, pihak kerajaan sentiasa membantu rakyat untuk mendapatkan tanah.

Tambahnya, tanah yang dipohon oleh rakyat akan dibangunkan oleh agensi kerajaan seperti Felcra bagi tujuan pertanian.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, penantian selama 14 tahun pemohon untuk mendapatkan geran tanah akhirnya selesai," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Felcra bersetuju untuk memberi sumbangan RM500 kepada 642 peserta sebagai persediaan menyambut Ramadan tidak lama lagi sekali gus bagi meringankan beban yang ditanggung peserta Felcra.

Sementara itu, penerima, Zainal Abidin Ibrahim, 76, bersyukur kerana permohonan tanah olehnya sudah diluluskan oleh pihak kerajaan.

"Tanah seluas 1.6 hektar ini akan diusahakan oleh Felcra untuk penanaman sawit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!