Skuad Sabil gerak kempen vaksin Covid-19 bagi warga emas, OKU
KUALA TERENGGANU - Skuad Sabil Kuala Terengganu menggerakkan kempen bagi membantu menyebarkan maklumat dan penerimaan pendaftaran vaksin Covid-19 bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Penasihat skuad Sabil Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, selain jawatankuasa skuad Sabil, program kempen pendaftaran penerimaan vaksin itu juga turut disertai jawatankuasa Pergerakan Puteri dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu.
Beliau berkata, setakat ini seramai 580 anggota masyarakat termasuk peniaga pasar malam, warga emas dan OKU didaftarkan melalui aplikasi MySejahtera selain pendaftaran secara manual.
"Lokasi tumpuan utama kempen adalah kepada peniaga serta pengunjung pasar malam. Setakat ini tiga siri kempen pendaftaran vaksin Covid-19 telah diadakan.
"Jawatankuasa skuad sabil turut mengunjungi rumah didiami warga emas dan OKU bagi memaklumkan mengenai proses vaksinasi yang diusahakan bagi mengekang pandemik Covid-19.
"Kita hanya membantu menguruskan pendaftaran masyarakat terutama golongan warga emas dan OKU termasuk melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual menggunakan borang khas," katanya kepada pemberita selepas mengetuai kempen pendaftaran vaksin Covid-19, di tapak pasar malam di Kampung Bukit Bayas, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Skuad Sabil Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Rubihah Musa.
Dalam pada itu, Wan Hisham berkata, semua jawatankuasa yang terbabit diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum menggerakkan kempen berkenaan.
"Skuad Sabil turut mengaktifkan jentera untuk melakukan kempen dari rumah ke rumah terutamanya di kawasan taman perumahan di seluruh daerah Kuala Terengganu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!