Malaysia-China tekankan pentingnya keamanan di Myanmar dipulihkan
KUALA LUMPUR - Malaysia dan China menekankan pentingnya keamanan di Myanmar dipulihkan di samping memupuk agenda pembangunan kolektif, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, China boleh bekerjasama dengan ASEAN untuk memainkan peranan penting dan konstruktif bagi memulihkan demokrasi di Myanmar yang memberi makna cukup besar bukan hanya kepada Myanmar tetapi keseluruhan rantau berkenaan.
"Kami menghargai pengiktirafan China terhadap peranan dan inisiatif ASEAN untuk meredakan ketegangan, menamatkan keganasan dan mengelak situasi bertambah buruk," katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya Wang Yi di Fujian, China pada Khamis.
Hishammuddin dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke China bermula Khamis atas undangan Wang Yi.
Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari dan menahan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint dan pemimpin kanan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).
Akibatnya protes antikudeta tercetus yang turut menyaksikan tentera menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan sekali gus mencetuskan kebimbangan global selepas lebih 500 nyawa terkorban.
Mengenai isu Laut China Selatan, Hishammuddin berkata Malaysia sekali lagi mengulangi komitmennya untuk meneruskan dialog dengan pihak yang berkaitan selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa.
"Kami berdua (Malaysia dan China) sepakat mengenai pentingnya memelihara keamanan serta kestabilan di rantau itu," katanya.
Mengenai ASEAN, Hishammuddin berkata kedua-dua negara menyambut baik aktiviti yang dirancang sempena perayaan ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China pada 2021 dan kedua-dua pihak akan mengeratkan lagi kerjasama antara China dan semua anggota ASEAN.
Ujarnya, Malaysia bersedia menggalakkan lagi kerjasama dengan China dalam inisiatif Belt and Road untuk memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara ketika tempoh pasca wabak.
Beliau berkata sejak setahun lalu, hubungan Malaysia dan China memperlihatkan kemajuan luar biasa, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Republik Rakyat China bagi pihak Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan rakyat Malaysia atas sumbangan serta bantuan yang diberikan semasa pandemik.
"Sumbangan besar dan pakar kesihatan yang dihantar telah banyak membantu Malaysia dalam menghadapi tekanan kesihatan awam paling mencabar terhadap generasi kita," katanya sambil menambah ia mencerminkan persahabatan sejati Malaysia dan China.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!