Lebih 25 pemimpin sokong cadangan perjanjian pandemik: WHO
GENEVA - Lebih 25 pemimpin G20, G7 dan serantau sepakat menyokong perjanjian antarabangsa untuk persediaan dan tindak balas pandemik dibuat secepat mungkin, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.
Perjanjian pandemik itu melambangkan komitmen semua untuk memelihara keselamatan dunia daripada patogen baharu yang boleh mencetuskan potensi pandemik pada masa akan datang, kata Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Pada taklimat media WHO, Tedros berkata, pemimpin “mengakui dunia tidak bersedia ketika kali pertama pandemik Covid-19 muncul dan jika berlaku pandemik lagi selepas ini semua pihak harus bersama-sama menanganinya dengan lebih baik.”
WHO dalam satu kenyataan pada Rabu menyatakan pandemik Covid-19 adalah cabaran terbesar bagi masyarakat global sejak 1940-an, dan tiada satu pun kerajaan atau agensi multilateral mampu menangani pandemik lain dan darurat kesihatan yang besar di masa depan.
Matlamat utama perjanjian itu adalah untuk memupuk pendekatan antara kerajaan dan seluruh masyarakat, memperkukuh kemampuan negara, serantau dan global dan daya tahan terhadap pandemik pada masa akan datang.
Perjanjian itu berdasarkan Perlembagaan WHO dan disokong oleh instrumen kesihatan global sedia ada, terutamanya Peraturan Kesihatan Antarabangsa.
"Menjadi tanggungjawab kami, sebagai pemimpin negara dan institusi antarabangsa, untuk memastikan dunia mengambil iktibar daripada pandemik Covid-19," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!