Pearly, Thinaah sedang meniti puncak

Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kiri) menyerahkan replika cek insentif kepada beregu wanita negara Thinaah (tengah) dan Pearly Tan yang berjaya menjuarai pertandingan badminton Terbuka Switzerland pada majlis penyampaian Insentif Pertandingan BAM dan pelancaran 'Wall Of Champions' di Akademi Badminton Malaysia pada Khamis.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kiri) menyerahkan replika cek insentif kepada beregu wanita negara Thinaah (tengah) dan Pearly Tan yang berjaya menjuarai pertandingan badminton Terbuka Switzerland pada majlis penyampaian Insentif Pertandingan BAM dan pelancaran 'Wall Of Champions' di Akademi Badminton Malaysia pada Khamis.
A
A
A

GANDINGAN beregu muda wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah telah menunjukkan peningkatan membanggakan, namun masih belum bersedia bersaing dengan pasangan terbaik dunia.

Ketua jurulatih beregu wanita negara, Chan Chong Ming berkata, masih banyak yang perlu dilakukan pasangan di ranking ke-19 dunia itu bagi merapatkan jurang dengan pasangan terbaik dunia terutama dari Korea Selatan, China dan Jepun.

“Mereka semakin meningkat. Saya cuma mahu mereka kekal fokus dan memberi tumpuan ketika latihan. Kami sedang merapatkan jurang... kami sedang memperbaiki mereka dalam latihan khususnya dari segi kekuatan, psikologi dan kemahiran,” katanya baru-baru ini.

Pearly, 21, dan Thinaah, 23, bermula baik pada awal tahun ini apabila mara ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand Yonex dan Terbuka Thailand Toyota, termasuk mengejutkan pasangan di ranking kesembilan dunia dari Korea Selatan, Chang Ye Na-Kim Hye Rin.

Pada Mac lepas, mereka mengejutkan ‘kakak senior’ - Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pada perlawanan separuh akhir Terbuka Switzerland sebelum menewaskan pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva untuk meraih kejuaraan sulung Jelajah Dunia BWF.

Mereka meneruskan aksi garang pada Seluruh England apabila menyingkirkan pasangan nombor lapan dunia, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajonglai dari Thailand di pusingan pertama sebelum tewas kepada Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun di suku akhir.

“Awal tahun ini kami telah menetapkan sasaran mereka berada dalam kedudukan 20 terbaik, tapi saya berpuas hati kerana selepas beberapa kejohanan, mereka sudahpun berada pada kedudukan itu. Seterusnya kami akan berusaha untuk meletakkan mereka dalam kelompok 15 terbaik menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Pada Khamis, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi insentif berjumlah RM15,000 kepada Pearly-Thinaah atas kejayaan menjuarai Terbuka Switzerland selain turut dipaparkan di ‘Wall of Champions’ di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!