MyCC umum penjenamaan semula, lancar logo baharu

Logo baharu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Logo baharu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengumumkan pelancaran penjenamaan dan logo yang direka bentuk semula untuk meningkatkan identiti korporatnya.

Pengerusi MyCC, Datuk Seri Hishamudin Md Yunus berkata, logo tersebut dilancarkan sempena program ulang tahun ke-10 yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Khamis.

Katanya, logo terbaharu MyCC itu merangkumi budaya dan warna organisasi serta kekuatan dan nilai kerjanya.

"Simbol rama-rama dikenali di seluruh dunia untuk mewakili daya tahan, perubahan, harapan dan kehidupan dan juga menunjukkan kesederhanaan yang terbaik, menandakan perubahan dan kematangan MyCC itu sendiri.

“Untuk memperingati tahun ke-10 penubuhan MyCC, yang jatuh pada 1 April 2021, MyCC memperkenalkan logo yang disempurnakan dengan tujuan mencerminkan misi kami bagi memastikan budaya persaingan yang kondusif untuk menjadikan pasaran berfungsi dengan baik untuk pengguna, perniagaan dan ekonomi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, MyCC berharap logo baharu itu akan lebih dikenali sebagai pihak yang dapat dipercayai melindungi proses persaingan sehingga pengguna dan perniagaan mendapat keuntungan daripad peningkatan kecekapan, inovasi dan keusahawanan.

Untuk rekod, MyCC merupakan sebuah badan bebas yang ditubuhkan pada Jun 2011, bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 yang dilaksanakan bertujuan mewujudkan persaingan yang sihat bagi mendorong produktiviti dan inovasi.

Ia juga mewujudkan pilihan produk yang lebih luas untuk pengguna dengan kualiti yang lebih baik dan harga yang berpatutan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!