Malaysia antara 20 negara pilihan warga asing tukar kerja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menjadi destinasi lebih menarik bagi warga asing untuk bertukar kerja dengan menduduki negara ke-19 paling diminati pada 2020 berdasarkan satu kajian bersama oleh Boston Consulting Group, syarikat pengambilan pekerja global The Network dan pemilik JobStreet SEEK Asia.

Daya tarikan Malaysia kepada pekerja global melonjak daripada kedudukan ke-33 pada 2018 ke-42 pada 2014, demikian menurut JobStreet dalam kenyataan pada Jumaat.

Kedudukan Kuala Lumpur juga bertambah baik dengan menduduki tangga ke-18 tahun lepas daripada 52 pada 2014 dan kedudukan ke-42 pada 2018, kata portal pekerjaan dalam talian itu.

Bagi mereka yang lebih suka bekerja di Malaysia, JobStreet berkata, mereka terdiri daripada penduduk 10 negara utama iaitu Indonesia, Singapura, India, Pakistan, Yaman, Thailand, China, Syria, Nigeria dan Qatar.

“Hanya 40 peratus responden kalangan rakyat Malaysia menyatakan kesanggupan untuk bekerja di luar negara pada 2020, merosot daripada 65 peratus pada 2018 dan 67 peratus pada 2014,” kata JobStreet.

Menurutnya, mereka yang sanggup berpindah ke negara lain untuk tujuan bekerja terdiri daripada pelajar (61 peratus), rakyat Malaysia yang terlibat dalam pendigitan dan automasi (56 peratus), dan media dan maklumat (52 peratus).

Menurut JobStreet, Singapura dinamakan sebagai destinasi terbaik bagi rakyat Malaysia yang berminat untuk bekerja di luar negara, diikuti Australia, United Kingdom, New Zealand dan Jepun.

Ketua Pegawai Pemasaran SEEK Asia Ramesh Rajandran berkata, ketika kebanyakan destinasi di Asia menambah baik kedudukan mereka pada tahun lepas dari segi daya tarikan untuk pekerjaan, Malaysia merupakan kisah kejayaan yang jelas sebagai destinasi pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Pandemik telah terbukti menjadi faktor utama yang telah mengubah secara drastik cara tenaga kerja global berfikir mengenai pekerjaan yang menjadi pilihan mereka,” katanya.

Kajian bertajuk “Decoding Global Talent” itu merupakan satu daripada kajian terbesar dunia yang melibatkan 208,805 responden dari lebih 190 negara termasuk 5,649 responden di Malaysia. - Bernama