Kem pelayaran negara siap sedia

Khairulnizam bakal membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik tahun ini.
Khairulnizam bakal membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik tahun ini.
A
A
A

TIGA atlet pelayaran negara yang sudah mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo kini sedang menjalani latihan intensif di perairan Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (KRMSAU), Desaru dekat Kota Tinggi, Johor.

Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, Nur Shazrin Mohamad Latif yang menyertai acara Laser Radial dan duo - Nuraisyah Jamil serta Juni Karimah Noor Jamali (International 470) telah menjalani latihan sejak 21 Mac lalu.

Beliau memberitahu, latihan intensif berkenaan yang akan diadakan sehingga 11 April ini merupakan satu daripada dua sesi latihan bagi ketiga-tiga atlet itu yang berada di bawah bimbingan jurulatih, Mohd Hafizi Roslee dan Muhammad Sahir A Rahim.

“Latihan bagi sesi pertama itu akan turut disertai 14 atlet pelayaran lain yang berada dalam pasukan kebangsaan Malaysia. Bagi sesi kedua latihan yang dijadualkan dari 19 April sehingga 9 Mei depan, kesemua atlet terlibat.

“Sesi latihan tersebut amat penting dalam merealisasikan misi meraih rekod baharu pelayaran sambil mengintai prospek menaiki podium pada Sukan Olimpik Tokyo nanti,” kata Kamaruzzaman dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, barisan pelayaran negara hanya tinggal empat bulan untuk membuat persiapan sebelum menyertai temasya Olimpik Tokyo yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Menurutnya, MSA tidak boleh lagi menunggu keadaan pandemik Covid-19 stabil, sebaliknya perlu mengisi ruang dan masa yang ada dengan menjalani latihan intensif itu.

“Pemilihan perairan terbuka Laut China Selatan dekat KRMSAU sebagai lokasi alternatif untuk latihan penting ini adalah berikutan keadaan angin di Pusat Latihan Langkawi ketika ini agak perlahan dan latihan tidak dapat dijalankan seperti diharapkan oleh jurulatih.

Artikel Berkaitan:

“Sebaliknya, keadaan laut di Desaru ini amat berbeza, dengan keadaan angin yang kuat dan ombak besar ia sekali gus mampu menggantikan latihan dan kejohanan pendedahan luar negara yang terpaksa dibatalkan buat ketika ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kamaruzzaman berkata, setakat ini jurulatih amat berpuas hati dengan keadaan laut di KRMSAU kerana atlet dapat menjalani latihan dengan kadar intensiti yang tinggi dan kawasan latihan yang berbeza.

“Kem latihan sebegini memberi nafas baharu selain pendedahan positif kepada pasukan selepas menjalani latihan secara kuarantin di Pusat Latihan Langkawi beberapa bulan yang lepas,” jelasnya.

Untuk rekod, seramai empat atlet pelayar negara dalam tiga kelas layak beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi acara Laser Standard, Laser Radial dan International 470 wanita.

Atlet pelayaran berpengalaman negara, Khairulnizam Mohd Afendy yang bersaing dalam acara Laser Standard kini menjalani latihan dan menyertai kejohanan di Pulau Tenerife, Sepanyol. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!