Tertipu beli online, barang tak sama dengan gambar

KPDNHEP menerima sebanyak 6,466 aduan transaksi dalam talian dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini membabitkan pelbagai platform e-dagang. - Foto 123RF
KPDNHEP menerima sebanyak 6,466 aduan transaksi dalam talian dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini membabitkan pelbagai platform e-dagang. - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima sebanyak 6,466 aduan transaksi dalam talian dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini membabitkan pelbagai platform e-dagang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, kebanyakan aduan diterima membabitkan pengguna yang rasa tertipu dan tidak berpuas hati apabila barangan dibeli tidak seperti dipamerkan dalam gambar.

“Aduan kedua terbanyak yang diterima pula berkaitan perkhidmatan atau barang dipesan tidak sampai kepada pengguna selain harga perkhidmatan atau barang ditawarkan tidak sama seperti dalam talian apabila ia diterima oleh pengguna.

“Masyarakat hari ini lebih selesa untuk membeli secara dalam talian kerana kelebihannya yang membolehkan mereka membuat perbandingan harga selain memudahkan pengguna, namun kita meminta orang ramai supaya berhati-hati,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan sempena Kempen Beli Barangan Malaysia, di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman dan Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.

Rosol berkata, bagi pengguna yang berdepan masalah berkaitan transaksi dalam talian, mereka boleh melaporkan terus kepada KPDNHEP di negeri masing-masing namun perlu menyimpan resit dan bukti pembelian supaya tindakan undang-undang boleh diambil.

“Cuma masalahnya apabila ia melibatkan platform perniagaan yang berada di luar negara. Tindakan sukar diambil kerana tidak tahu tempat perniagaan terbabit beroperasi dan siapa mengendalikannya,” katanya.

Dalam pada itu, Rosol berkata, sehingga 28 Februari lepas sebanyak 1,345 permohonan penandaan Logo Buatan Malaysia telah diterima dan daripada jumlah tersebut sebanyak 16,859 'stock keeping unit' (SKU) menepati syarat serta kriteria yang ditetapkan dan telah mendapat kelulusan penandaan logo berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, para pengusaha digalakkan untuk membuat permohonan penandaan Logo Buatan Malaysia bagi perniagaan mereka kerana ia satu pengiktirafan bagi penentuan bahawa produk dihasilkan adalah dibuat di Malaysia.

“Kelebihannya, ia sudah tentu dapat meyakinkan pengguna untuk membeli barangan keluaran tempatan dan juga memudahkan untuk proses eksport ke negara luar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!