Graduan terima gaji permulaan lebih rendah tahun lalu
KUALA LUMPUR - Impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia dan juga kekangan aliran kewangan dihadapi kebanyakan majikan, menyebabkan graduan baharu akan menerima gaji permulaan yang lebih rendah pada 2020, berbanding tahun lepas.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain J P berkata, kebanyakan majikan kini mengalami kekangan aliran wang tunai, selain terdapat lebih 32,000 syarikat telah ditutup tahun lepas akibat pandemik itu.
Beliau berkata, pada masa ini sesetengah majikan masih lagi mengecilkan operasi dan melaksanakan tugasan pelbagai skill dan pelbagai tugasan di tempat kerja, untuk terus beroperasi.
“Ramai pekerja yang alami pemotongan gaji dan pengurangan faedah, manakala banyak majikan bergantung kepada subsidi diberikan kerajaan menerusi inisiatif Prihatin, Penjana dan Pemerkasa, bagi mengelakkan terus membuang pekerja akibat Covid-19.
“Majikan juga melihat kepada pengambilan pekerja tempoh singkat, gaji mengikut jam dan meletakkan mereka kepada aktiviti lain, dalam usaha memastikan mereka kekal beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Oleh sebab itu beliau berkata, mempunyai pekerjaan walaupun dengan gaji permulaan yang lebih rendah adalah satu yang baik pada masa kini, dan ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan untuk graduan menerima gaji permulaan lebih rendah, kerana ia ditentukan oleh pasaran.
Syed Hussain mengulas berkaitan laporan Jabatan Statistik baru-baru ini yang menyatakan graduan baharu mencatatkan pengurangan gaji bulanan, di mana majoriti menerima pendapatan antara RM1,001 dan RM1,500 pada 2020 berbanding RM2,001-RM2,500 pada 2019.
Bagaimanapun beliau berkata, situasi ini adalah sementara dan oleh kerana situasi ekonomi semasa dan pandemik dan juga Program Imunisasi Kebangsaan, jangkaaan untuk 2021 dan seterusnya akan menjadi lebih baik, dengan syarikat telah dibenarkan untuk beroperasi pada kapasiti penuh selain pembukaan sempadan.
“Kami percaya, keadaan akan kembali normal tidak lama lagi. Para graduan tidak perlu risau mengenai gaji permulaan yang rendah pada masa ini, kerana sektor swasta amat menghargai prestasi dan sebaik pekerja mula memberikan sumbangan dan menunjukkan prestasi, mereka akan diberikan ganjaran setimpal.
“Pengalaman kerja juga akan membuatkan graduan lebih mudah dipasarkan dan lebih mudah mendapatkan pekerjaan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!