Apa agenda Wee Ka Siong?
AWANG tak faham tindakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong. Paling baharu beliau minta pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya ‘berlembut’ dengan pemandu lori yang bawa lebih muatan.
Beliau mahu JPJ kaji balik saman yang dikeluarkan kepada pemandu lori yang disaman itu. Ini ekoran seorang pemandu lori yang lesennya disenaraihitamkan oleh sebab majikannya tak mahu bayar saman pemandu itu.
Apa yang Ka Siong buat? Dia panggil pemandu lori itu ke pejabatnya. Dia panggil JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam (APAD). Nampaknya yang bersalah ialah JPJ dan APAD, bukan pemandu yang banyak kena saman kerana pelbagai kesalahan.
Lepas ini, siapa nak hormat pada JPJ atau APAD? Mana-mana pemandu lori yang kena saman akan kata mereka dilindungi oleh menteri.
Sebelum ini, Ka Siong persoalkan tindakan PDRM yang saman mereka yang tukar ekzos. Penatlah PDRM buat kempen untuk hapus gejala bising akibat ekzos yang dipinda.
Susahlah kerja polis jikalau menteri masuk campur. Menteri pula yang memihak pada pengguna motor yang ganggu ketenteraman awam.
Apakah agenda Ka Siong sebenarnya? Nak jadi popular? Nak suruh orang tak hormat undang-undang? Nak campur tangan kerja polis?
Menteri patut sokong kerja penguat kuasa terutamanya agensi di bawah kementeriannya sendiri. Bukan ajak mereka ke pejabat, ambil gambar dan viralkan!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!