Lima tahun sampah penuhi sungai

Sumber pendapatan kira-kira 200 nelayan terjejas akibat pencemaran di sungai Kampung Permatang Tepi Laut.
Sumber pendapatan kira-kira 200 nelayan terjejas akibat pencemaran di sungai Kampung Permatang Tepi Laut.
A
A
A

GEORGETOWN - Sumber pendapatan kira-kira 200 nelayan pantai di Kampung Permatang Tepi Laut, Bayan Lepas terjejas akibat pencemaran air kumbahan dan pembuangan sampah sarap sejak lima tahun lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati kejadian itu menyebabkan air sungai keruh, berkeladak dan berbau busuk selain kawasan pantai dipenuhi sampah sarap.

Menurutnya, masalah tersebut berpunca daripada kediaman penduduk dan premis perniagaan sekitar Bayan Lepas yang membuang sisa kotoran termasuk sampah ke dalam sungai berhampiran.

“Bahan buangan itu dibawa arus ke laut dan menjejaskan kawasan tangkapan nelayan di kawasan berkenaan.

“Hasil laut seperti ikan, udang, kerang dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan di situ sejak dahulu kini diancam kepupusan dan berkurangan. Ia telah menjejaskan hasil pendapatan nelayan sehingga 50 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohideen berkata, nelayan juga terpaksa berhadapan dengan masalah enjin bot rosak akibat tersangkut pada sampah yang dibuang.

“Nelayan dan penduduk juga mendakwa mengalami kegatalan pada kulit apabila terkena air yang tercemar. CAP kesal dan bimbang dengan kejadian ini kerana ia sudah lama berlaku namun sehingga kini tiada tindakan diambil oleh pihak berkenaan.

“Menurut nelayan di situ, pihak bertanggungjawab telah beberapa kali mengambil sampel air sungai untuk diuji namun sehingga sekarang, tiada maklumat lanjut berhubung keputusan ujian tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Keadaan sungai yang kotor dan berbau busuk akibat dipenuhi sampah di Kampung Permatang Tepi Laut, Bayan Lepas.
Keadaan sungai yang kotor dan berbau busuk akibat dipenuhi sampah di Kampung Permatang Tepi Laut, Bayan Lepas.

Sehubungan itu, Mohideen berkata, pihaknya menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap masalah pencemaran tersebut.

Sementara itu, nelayan, Mohd Hadi Ismail, 45, berkata, masalah berkenaan berlarutan sejak dahulu lagi dan menjejaskan pendapatan nelayan.

Menurutnya, sumber laut mati akibat pencemaran yang teruk di sungai dan laut tersebut.

“Sungai di kampung ini menjadi mendap akibat sisa kumbahan dan kotoran yang dibuang daripada kediaman penduduk dan premis perniagaan di Bayan Lepas.

“Kami telah lama menghidu bau yang kurang menyenangkan. Dahulu sungai ini penuh dengan hidupan air seperti udang dan ikan namun sekarang spesies ini sukar ditemui dalam sungai ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!