Ajal di hari lahir
TUMPAT - Hasrat seorang lelaki meraikan hari jadi bersama rakan-rakannya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kampung Pasir Puteh, hari ini.
Mangsa, Muhammad Hazimie Mohd Nasir, 21, maut ditempat kejadian dalam kemalangan jam 4.10 petang akibat parah di kepala.
Mangsa menunggang motosikal berkonvoi bersama 10 rakannya dari Pasir Mas untuk meraikan hari jadinya di Pantai Sri Tujoh di sini.
Ibunya, Rogayah Yusof, 49, berkata, ajal anaknya dijemput Ilahi ketika genap umurnya 21 tahun.
"Hari ini adalah hari jadi anak saya, kegembiraan yang dirancang namun siapa kita untuk melawan takdir Ilahi.
"Saya reda dengan ketentuanNya, semuanya akan ke sana bila sampai waktunya," katanya dari Kampung Mengkirim, Alor Pasir, Pasir Mas.
Allahyarham merupakan anak kelima daripada 11 beradik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Banggol Stol, Pasir Mas malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, kemalangan membabitkan tiga kenderaan apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125 dari arah Chabang Empat melanggar bahagian bamper belakang Honda Civic.
"Mangsa terjatuh lalu datang sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dari arah bertentangan melanggar mangsa," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!