Peluang pelanggan Astro tonton Euro 2020 dalam versi 4K UHD
BUAT julung-julung kalinya, pelanggan Astro berpeluang menyaksikan kesemua 51 perlawanan Euro 2020 yang disiarkan dalam versi 4K UHD di kaca televisyen menerusi Ultra Box mahupun menstrim di platform Astro GO sepanjang kejohanan berlangsung.
Menurut Pengarah Komersial Astro Malaysia Holdings Berhad, Azlin Arshad, pihaknya mahu memastikan pelanggan Pek Sukan Astro dapat merasai pengalaman tontonan terbaik apabila menyaksikan beberapa acara sukan berprestij seperti Euro 2020 yang dijadualkan Jun depan.
Malah, beliau memberitahu, pelanggan yang layak juga boleh menaik taraf ke Ultra Box tanpa sebarang bayaran.
“Kami sentiasa mahu memastikan pelanggan yang melanggan Pek Sukan Astro dapat merasai pengalaman terbaik menyaksikan acara-acara sukan di saluran Astro.
“Pelanggan juga boleh merakam program kegemaran masing-masing menggunakan aplikasi rakam cloud (cloud recording) sekiranya tidak berkesempatan menyaksikan program berkenaan secara langsung.
“Bagi pelanggan komersial Astro pula, kami turut menyediakan pakej-pakej istimewa lain dalam usaha menarik lebih ramai pelanggan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena pelancaran Astro Sports Euro 2020 di pusat beli belah Sunway Pyramid pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Sukan Astro, CK Lee dan Pengarah NJOI, OTT Astro, Mazhairul Jamaludin.
Sementara itu, CK Lee berkata, pihaknya merancang untuk membawakan lebih banyak acara sukan di saluran Astro pada masa akan datang.
“Acara dan perlawanan sukan siaran langsung berprestij merupakan teras utama kepada sajian kandungan yang dipersembahkan Astro bagi meningkatkan jumlah tontonan khususnya di kaca televisyen dan platform Astro GO.
“Selepas lebih kurang setahun menunggu, Astro kini kembali membawakan keterujaan perlawanan Euro 2020 menerusi penganjuran aktiviti bersama pelanggan selama empat hari berturut-turut di pusat beli belah Sunway Pyramid (Blue Atrium) dari 1 hingga 4 April ini.
“Bagi memeriahkan kempen ‘Goal Mania’, kami telah menyediakan 51 buah hadiah televisyen 4K untuk dimenangi bagi semua pelanggan Pek Sukan sedia ada ataupun bagi mana-mana pelanggan yang baru mendaftar,” ujarnya.
Pelanggan boleh strim perlawanan di platform Astro GO atau tonton menerusi kedua-dua saluran khas dalam versi HD (saluran 810 dan 809) yang mana akan memulakan siaran seawal 1 Jun.
Dua saluran UHD (saluran 781 dan 782) untuk pelanggan yang memiliki Ultra Box pula akan menyiarkan perlawanan siaran langsung dan ulangan sahaja.
Pek Sukan menyajikan 11 saluran dengan tiga berdefinisi tinggi (HD) bagi membawakan liputan terhebat acara sukan besar-besaran dunia seperti La Liga, Bundesliga, Ligue 1 dan Serie A serta acara berprestij lain seperti Formula 1, Moto GP, UFC, NBA, tenis, badminton dan banyak lagi.Untuk sebarang maklumat lanjut, pelanggan Astro boleh melayari laman sesawang https://promotions.astro.com.my/details/Euro2020Contest.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!