Sakit mata lihat pantai kotor

Sukarelawan Geng Plastik Ija (GPI) memungut pelbagai jenis sampah sarap seperti botol plastik ketika ditemui di Pantai Pandak. - Foto Bernama
Sukarelawan Geng Plastik Ija (GPI) memungut pelbagai jenis sampah sarap seperti botol plastik ketika ditemui di Pantai Pandak. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keindahan kawasan pantai sepanjang 244 kilometer di Terengganu yang berlatarbelakangkan kepulauan Laut China Selatan sememangnya memukau setiap mata memandang.

Namun pemandangan lautan biru yang mempesonakan itu ada kalanya dicacatkan dengan ‘kehadiran’ sampah-sarap di pesisir pantai, angkara sikap individu yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati.

Kecewa dengan keadaan tersebut, kira-kira 100 ahli ‘Geng Plastik Ija’ (GPI) (‘Ija’ bermaksud hijau dalam dialek Terengganu) yang antaranya merupakan golongan profesional, sepakat mengambil inisiatif mengutip sampah dan membersihkan kawasan pantai serta pulau pada setiap hujung minggu.

Pengerusi GPI, Zulkefli Sarji berkata, sejak pertubuhan itu diwujudkan pada 2017, setiap minggu sudah menjadi kebiasaan buat para ahli memakai baju t-shirt rasmi berwarna hijau dan membawa plastik sampah yang juga berwarna hijau mengutip sampah-sarap di sekitar pantai.

“Pada mulanya hanya saya dan isteri Normazita Ali, 45, sahaja yang melakukan aktiviti ini secara sukarela kerana kami selalu menghabiskan waktu petang dengan berjalan-jalan di pantai. Namun kami berasa ‘sakit mata’ melihat begitu banyak sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan pengunjung jadi kami pun mula mengutip sampah.

Antara sampah yang dilonggok oleh pengunjung tidak bertanggungjawab semasa melakukan aktiviti riadah ketika tinjauan di Pantai Pandak. - Foto Bernama
Antara sampah yang dilonggok oleh pengunjung tidak bertanggungjawab semasa melakukan aktiviti riadah ketika tinjauan di Pantai Pandak. - Foto Bernama

“Selepas itu ada pula rakan-rakan kami yang berminat untuk turut serta (mengutip sampah) dan mereka menguar-uarkan aktiviti ini di media sosial. Kemudian ahli kami semakin berkembang sehinggalah tertubuhnya GPI ini,” kata jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas yang berumur 52 tahun itu ketika ditemui Bernama pada program pembersihan Pantai Pandak di Chendering di sini.

Zulkefli berkata, pada peringkat awal penubuhan, aktiviti GPI lebih banyak tertumpu di pantai sekitar Kemaman dan Dungun memandangkan kebanyakan ahli berasal dari kedua-dua daerah itu.

Artikel Berkaitan:

Namun pada 2019 seiring dengan pertambahan ahli termasuk dari Kuala Terengganu, GPI telah melebarkan aktiviti mereka ke kawasan pantai sekitar Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Besut.

Zulkefli berkata, selain menganggap apa yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab fardu kifayah, mereka juga berharap ia dapat menjadi contoh yang baik dan membuka mata masyarakat untuk turut sama menjaga kebersihan pantai.

“Pantai ini adalah magnet rezeki. Apabila pantai cantik dan bersih akan ramai orang termasuk dari luar Terengganu datang berkunjung. Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan kerana mereka boleh berniaga makanan dan sebagainya,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya turut melibatkan penyertaan kumpulan pelajar termasuk daripada pusat tahfiz dan sekolah sebagai usaha melahirkan golongan muda yang lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.

Sementara itu wakil GPI dari Kuala Terengganu, Dr Mohd Arif Hafizi, 31, berkata, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh ahli kumpulan itu apabila mereka berjaya mengumpul 389 kilogram sampah hanya dalam tempoh beberapa jam melakukan aktiviti pembersihan di Pantai Kemasik, Kemaman pada Ogos tahun lepas.

Beliau berkata, kebiasaannya sebanyak 70 hingga 80 peratus sampah yang terdapat di pesisir pantai merupakan sampah bawaan ombak seperti pukat nelayan dan botol kaca manakala selebihnya adalah sampah yang dibuang oleh pengunjung seperti sisa makanan, tisu dan plastik minuman.

“Walaupun jumlahnya banyak namun sampah bawaan ombak selalunya hanya muncul pada musim tengkujuh sahaja. Berbeza dengan sampah yang dibuang orang ramai, walaupun lebih sedikit tetapi ia ada pada setiap masa tidak kira apa sahaja musim.

“Sampah seperti plastik makanan dan minuman yang paling merisaukan kerana ia susah untuk reput dan mampu mengancam hidupan laut sekiranya dibawa ombak hingga ke tengah laut,” katanya yang merupakan seorang pegawai perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Sukarelawan Geng Plastik Ija (GPI) memungut pelbagai jenis sampah sarap seperti botol plastik dan bekas makanan yang terdapat di sekitar Pantai Pandak.- Foto Bernama
Sukarelawan Geng Plastik Ija (GPI) memungut pelbagai jenis sampah sarap seperti botol plastik dan bekas makanan yang terdapat di sekitar Pantai Pandak.- Foto Bernama

Dr Mohd Arif yang melakukan aktiviti sukarela tersebut bersama isteri Dr Fatin Nurliyana Mohd Zain, 28, berkata, sampah seperti botol plastik, kertas dan sebagainya akan dihantar ke pusat kitar semula.

Seorang peserta termuda, Aufa Irdina Najmi Mohd Nazri, 12, yang berasal dari Kemaman berkata, setiap hujung minggu beliau sanggup bangun seawal 5 pagi untuk mengikut bapa Mohd Nazri Abdullah, 47, dan ibu Shamni Mohamad, 45, untuk mengutip sampah di pantai.

“Kalau program pembersihan di pantai yang jauh dari Kemaman seperti Kuala Terengganu, saya dan adik-adik akan bangun lebih awal kerana kami perlu bertolak pada jam 5 pagi. Walaupun letih tetapi saya seronok kerana selepas pantai dibersihkan kami dapat bermain di persekitaran pantai yang cantik dan bersih,” katanya.

Aufa Irdina Najmi yang menyertai aktiviti pembersihan pantai bersama adik-adiknya iaitu Mohd Dafiq Dayan Najmi, 9, dan Aissa Balqish Najmi, 6, juga ingin menjadi contoh kepada rakan-rakan seusianya untuk bersama-sama menjaga kebersihan kawasan pantai dan pulau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!