Datuk Seri ditahan ketika sambut hari jadi rakan
BUKIT MERTAJAM – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri antara 32 individu yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Pusat Perniagaan Gemilang di sini, tengah malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, Datuk Seri berusia 60 tahun itu ditahan bersama 17 individu lain ketika menyambut hari lahir ke-40 salah seorang rakan wanitanya.
Menurutnya, operasi yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah SPT bermula jam 12.05 tengah malam itu turut menahan sepasang suami isteri di bilik berasingan di pusat hiburan sama.
"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Selain lelaki bergelar Datuk Seri itu, kita turut menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga lembu bersama isterinya yang sedang hamil lima bulan.
"Mereka ditahan di bilik berasingan ketika sedang leka berhibur di pusat hiburan yang menyediakan bilik karaoke untuk pengunjung berhibur selain mengadakan sambutan hari lahir," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Tambahnya, turut ditahan seorang lelaki Bangladesh yang merupakan pekerja di premis tersebut serta seorang wanita Vietnam yang mengikut teman lelakinya berhibur.
Menurutnya, kedua-dua warga asing tersebut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.
Shafee berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk dikenakan kompaun kerana melanggar PKPB dan prosedur operasi standard (SOP).
"Selain didapati melanggar PKPB, mereka juga didapati tidak mendaftar aplikasi MySejahtera.
"Polis akan sentiasa mengadakan operasi dari masa ke masa bagi memastikan semua pihak mematuhi PKPB yang sedang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!