Covid-19: KPM akan tutup sekolah jika kecekapan operasi terjejas

Mohd Radzi (kiri) melawat SMK Tasek Gelugor sebelum menghadiri majlis penyerahan SMK Tasek Gelugor serta penyampaian peruntukan penyelenggaraan untuk sekolah-sekolah Parlimen Tasek Gelugor pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohd Radzi (kiri) melawat SMK Tasek Gelugor sebelum menghadiri majlis penyerahan SMK Tasek Gelugor serta penyampaian peruntukan penyelenggaraan untuk sekolah-sekolah Parlimen Tasek Gelugor pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TASEK GELUGOR - Sekolah yang melaporkan kes Covid-19 hanya akan ditutup jika sebahagian besar guru perlu dikuarantin sehingga menjejaskan kecekapan operasi sekolah, kata Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.

Beliau berkata, keputusan penutupan juga mengambil kira penilaian risiko yang dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD).

Menurutnya, sekiranya PKD menasihatkan agar kelas tertentu, tingkat tertentu atau bangunan tertentu ditutup, maka penutupan hanya melibatkan bahagian yang berkenaan.

“Bagaimanapun, jika kami mendapati operasi sekolah boleh terjejas disebabkan sebahagian besar guru dikuarantin, maka kementerian akan melihat sama ada operasi sekolah boleh diteruskan atau ditangguh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor dan wang penyelenggaraan kepada 31 sekolah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor pada Sabtu.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang dilapor menggesa agar tindakan drastik termasuk penutupan diambil terhadap sekolah yang melaporkan kes Covid-19.

Mengulas mengenai majlis pada Sabtu, Radzi berkata, kementerian itu memberi penekanan besar terhadap infrastruktur sekolah dengan memastikan penyelenggaraan dijalankan secara berterusan.

"Infrastruktur yang baik merupakan asas yang utama supaya anak-anak boleh belajar dalam keadaan yang selesa dan kondusif serta membolehkan para guru menyampaikan pembelajaran dengan baik," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui, isu infrastruktur di sekolah sukar untuk diselesaikan sepenuhnya kerana kementerian perlu memberi perhatian kepada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!