KDA FC menang bukan kerana 'tuah'

Aidil Sharin mahu semua pemainnya melupakan segera kemenangan ke atas Sri Pahang FC dan fokus kepada aksi seterusnya bertemu Selangor FC pada Selasa ini. FOTO IHSAN KDA FC
Aidil Sharin mahu semua pemainnya melupakan segera kemenangan ke atas Sri Pahang FC dan fokus kepada aksi seterusnya bertemu Selangor FC pada Selasa ini. FOTO IHSAN KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC tidak bergantung kepada 'tuah' apabila menang mengatasi Sri Pahang FC 3-1 selepas pelawat dilayangkan satu kad merah dan tuan rumah pula memperoleh satu sepakan penalti pada aksi Liga Super 2021 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, usaha yang ditunjukkan oleh semua pemainnya sepanjang lebih 90 minit memastikan kelabnya berjaya meraih tiga mata penting di laman sendiri.

Menurutnya, bola sepak adalah sukan yang memerlukan kerja keras untuk memburu gol dan perkara tersebut telah diterjemahkan oleh anak-anak buahnya semasa mengatasi skuad Tok Gajah.

"Saya tidak begitu percaya kepada 'tuah' dalam sukan bola sepak, kita yang perlu bekerja keras untuk mencipta peluang. Jika kita tidak berusaha mencipta peluang, kita tidak mampu untuk menjaringkan gol," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Mengulas lanjut, pengendali dari Singapura itu berkata, beliau mengakui pasukannya bermula agak perlahan pada awal separuh masa pertama sehingga menyaksikan Tok Gajah berjaya memberikan tekanan kepada mereka.

"Bagaimanapun saya memuji kebangkitan semula pasukan selepas 15 minit kerana berjaya memberikan saingan sengit dan saling berbalas serangan sepanjang perlawanan berlangsung.

"Bukan mudah untuk menewaskan Sri Pahang FC walaupun mereka bermain 10 orang kerana dapat dilihat pelawat memberikan tumpuan kepada barisan pertahanan mereka. Namun kelebihan berada di pihak kami kerana mampu melakukan serangan dengan lebih baik," katanya.

Aidil Sharin berkata, beliau mahu pemainnya segera melupakan kemenangan ke atas Sri Pahang FC dan kembali fokus kepada aksi seterusnya menentang Selangor FC pada Selasa ini di laman lawan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh menyifatkan kad merah yang dilayangkan oleh pengadil terhadap Herold Goloun pada minit ke-16 menyebabkan kelabnya hilang rentak permainan untuk sekurang-kurangnya seri di Darul Aman.

Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan anak-anak buahnya bermain dalam tertekan kerana beraksi dengan 10 pemain sahaja.

"Pada separuh masa pertama, kita masih lagi melawan namun apabila separuh masa kedua, gol penalti yang diperoleh oleh tuan rumah memusnahkan segalanya. Selain itu nampak keletihan yang ketara ditunjukkan oleh pemain saya kerana telah memberikan segala-galanya," katanya.

Pada perlawanan tersebut, KDA FC memperoleh jaringan menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit ke- 36, ke- 71 dan sepakan penalti Kpah Sherman pada minit ke-46 manakala Sri Pahang FC memperolehi gol tunggal menerusi Muhammad Nur Izzat Che Awang pada minit ke-41.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!