Muhyiddin minta MIC utamakan politik perpaduan

Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan secara maya pada Perhimpunan Agung MIC ke-74 pada Sabtu - Foto Bernama
Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan secara maya pada Perhimpunan Agung MIC ke-74 pada Sabtu - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MIC boleh melakukan sumbangan besar kepada situasi semasa dengan mengutamakan politik perpaduan demi kebajikan rakyat, bukan politik pecah belah untuk kepentingan sempit.

“Kita telah memasuki era baharu dalam politik negara kita. Tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa bahawa merekalah parti yang paling dominan dan lebih berhak untuk memegang tampuk kuasa dengan memperkecilkan peranan parti-parti lain. Ini politik lama,” kata Muhyiddin pada Perhimpunan Agung MIC ke-74 di sini pada Sabtu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyampaikan ucapan khas itu secara maya.

Menurut Perdana Menteri, dalam era politik baharu sekarang, semua parti mempunyai peranan dan sumbangan yang sama penting untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negara.

“Kita perlu mengamalkan budaya politik yang berasaskan kepada persefahaman, perundingan dan konsensus dalam mencari jalan terbaik untuk memelihara kestabilan politik, membela nasib rakyat dan memacu kemajuan negara.

“Dalam apa sahaja hala tuju politik yang diambil oleh parti politik, pertimbangan utamanya mestilah kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan individu atau kelompok yang kecil,” katanya.

Muhyiddin berkata, semua organisasi politik di negara ini termasuk MIC sepatutnya menjadikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara sebagai prinsip panduan dalam menentukan hala tuju parti masing-masing.

Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada MIC yang terus memberikan sokongan kepada kerajaan PN selain menjadi parti yang pernah bersama-sama mengemudi negara sejak tujuh dekad yang lalu.

Artikel Berkaitan:

“Sumbangan MIC dalam memajukan masyarakat India, baik dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain berjaya meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan dalam setiap kejayaan yang dicapai oleh masyarakat India terdapat sumbangan MIC di sebaliknya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!